3 Orang Pemuda terperangkap di Sebuah Gua.

Daripada Abu abdur-Rahman, abdulLah bin Umar al-Khattab r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Dahulu sebelum kamu ada 3 orang berjalan-jalan kemudian mereka pergi ke sebuah gua untuk berteduh, maka mereka pun masuk ke dalamnya Kemudian tiba-tiba ada batu dari atas bukit yang bergolek dan menutup pintu gua itu sehingga mereka tidak dapat keluar.


Salah seorang daripada mereka berkata: 'Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu sekalian daripada bencana ini kecuali apabila kamu sekalian berdoa kepada Allah s.w.t dengan menyebutkan amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan.'

Mengasihi Ibu-Bapa
Salah seorang antara mereka telah berdoa: "Wahai Allah, saya mempunyai ayah dan ibu yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu kepada kedua-duanya dahulu, sebelum saya memberikan kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari saya terlambat pulang daripada mencari kayu dan saya dapati kedua-duanya sudah tidur. Saya terus memerah susu untuk minuman mereka. Kerana saya mendapati mereka berdua tidur maka saya pun tidak mahu membangunkan mereka. Kemudian saya berjanji tidak akan memberi minum susu itu sama ada kepada keluarga mahupun kepada anak-anak sebelum saya memberi minum kepada ayah bonda."

"Saya menunggu ayah dan bonda hingga terbit fajar barulah kedua-duanya bangun sementara anak-anak menangis, mereka datang kepadaku. Setelah mereka bangun, kuberikan minuman susu kepada kedua-duanya.  Wahai Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan wajah-Mu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini." Maka bergeraklah sedikit batu itu tetapi, masih belum membolehkan mereka keluar dari gua tersebut.

Menolak Zina
Orang yang kedua pula merayu kepada Allah s.w.t dengan bermunajat. "Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai saudara sepupu perempuan yang sangat saya cintai kemudian saya selalu memujuknya untuk melakukan zina tetapi dia selalu menolaknya. Selang beberapa tahun, dia ditimpa kesusahan menyebabkan dia datang kepada saya meminta bantuan. Lalu saya berikan kepadanya 120 dinar, dengan syarat dia mahu berzina dengan saya. Kali ini dia berada dalam keadaan terdesak menyebabkan dia pun bersetuju.

Ketika kami hampir-hampir melakukan perbuatan yang hina itu dalam keadaan saya berada di antara kedua-dua kakinya, dia berkata: "Takutlah kamu kepada Allah dan jangan kau robekkan selaput daraku  kecuali dengan cara yang benar." Kemudian saya meninggalkannya, padahal dia seseorang yang sangat saya cintai dan saya telah meredhakannya bantuan yang saya berikan kepadanya. Wahai Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan redha-Mu, maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini." Maka bergeraklah batu itu lagi sedikit tetapi, mereka masih belum dapat melepaskan diri keluar dari gua itu.

Gajimu seluruh harta ini.
Orang yang ketiga juga berdoa. "Wahai Allah, saya menggaji beberapa orang pekerja dan semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna kecuali ada seorang yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gajinya terlebih dahulu. Kemudian gaji itu saya laburkan dalam perniagaan sehingga menjadi banya. Selang beberapa hari lama dia datang da berkata: "Wahai hamba Allah, berikanlah gaji saya yang dahulu itu." Saya berkata: "Semua yang kamu lihat itu baik unta, lembu, kambing termasuk budak yang mengembalakannya ialah gajimu."

Dia berkata: "Wahai hamba Allah, janganlah engkau mempermainkan saya." Saya menjawab: "Saya tidak mempermainkan kamu." Kemudian dia pun mengambil semuanya dengan tidak meninggalkan sisa sedikit pun." Wahai Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan redha-Mu, maka gerakkanlah batu itu. Akhirnya batu itu pun bergerak dan mereka dapat keluar dari dalam gua."

PENGAJARAN
  1. Kita dianjurkan untuk memanjatkan doa pada saat-saat genting dan sukar.
  2. Menjalinkan hubungan dengan Allah dengan cara yang disyari'atkan. (amal Soleh)
  3. Taqwa merupakan faktor penyelamat.
  4. Keutamaan membuat baik kepada kedua ibu-bapa.
  5. Tawassul: Berdoa kepada Allah melalui suatu perantara, baik perantara tersebut berupa amal baik kita ataupun melalui orang soleh yang kita anggap mempunyai posisi lebih dekat kepada Allah.

No comments:

Post a Comment