Matahari Ditahan dari Terbenam untuk Nabi Yusya'

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa ada seorang nabi daripada nabi-nabi Allah yang ingin pergi berperang. Maka beliau berkata kepada umatnya: "Seorang lelaki yang telah bersetubuh dengan isterinya dan dia mengharapkan anak tapi masih belum mendapatkannya tidak boleh turut serta dalam peperangan ini. Begitu juga orang yang telah membina rumah tetapi belum sempat menaikkan atapnya. Juga tidak boleh ikut bersamaku orang yang telah membeli kambing atau unta bunting yang sedang menunggu kelahiran anaknya."



Menahan Matahari
Maka berangkatlah nabi tersebut untuk berjihad. Ketika waktu Asar hampir tiba, rombongan tersebut telah sampai di desa atau daerah yang hendak dituju. Nabi tersebut memerintahkan kepada matahari: "Wahai matahari, engkau tunduk kepada perintah Allah dan aku juga demikian. Ya Allah, tahanlah matahari itu sejenak agar tidak terbenam." Lalu Allah s.w.t menahan matahari itu hingga mereka dapat menakluki daerah tersebut.

Emas Sebesar Kepala Lembu.
Setelah itu, bala tenteranya telah mengumpulkan semua harta rampasan di sebuah tempat. Kemudian ada api yang marak menyala tetapi tidak mampu membakarnya. Maka Nabi itu berkata: "Antara kalian, ada yang berkhianat, masih menyimpan sebahagian daripada harta rampasan. Aku harap daripada setiap kabilah ada yang mengangkat sumpah." Mereka bersumpah, ketika sampai kepada giliran dua atau tiga orang daripada anggota kabilah tersebut, tangan Nabi dipegang erat, kemudian Nabi berkata: "Kalian telah berkhianat."

Lalu mereka pun mengeluarkan emas sebesar kepala lembu. Emas itu kemudian dikumpulkan bersama harta rampasan lainnya yang telah dikumpulkan sebelumnya di tanah lapang. Tiba-tiba datanglah api menyambar dan melenyapkan harta tersebut.

Harta rampasan memang tidak pernah dihalalkan untuk umat sebelum kita. Ia kemudiannya dihalalkan untuk kita kerana Allah melihat kelemahan dan ketidak mampuan kita.

PENGAJARAN
1- Berjuang di jalan Allah merupakan satu kewajiban setiap Muslim
2- Seseorang yang ingin berjihad di jalan Allah, hendaklah memberi penumpuan terhadap jihad itu.
3- Keseronokan hidup di dunia dengan berbagai-bagai fitnahnya seringkali menyebabkan seseorang menjadi tamak.

No comments:

Post a Comment