Antara Ahli Sihir, Rahib, Raja Zalim dan Para Penghuni Ukhdud. epsd 2




Tuhanku Ialah Allah.
Kemudian dia datang menghadap raja dan duduk di sisinya seperti sedia kala. Raja bertanya: "Siapa yang menyembuhkan penglihatanmu ?." Dia menjawab: "Tuhanku !." Raja bertanya lagi: "Apakah engkau mempunyai tuhan selain aku ?." Dia menjawab: "Tuhanku dan Tuhan tuanku ialah Allah." Raja itu lalu menyeksanya, sehingga akhirnya dia memberitahu berkenaan pemuda tersebut. Pemuda itu pun diarahkan untuk berjumpa dengan raja. Raja berkata: "Wahai anakku, sihirmu telah mampu menyembuhkan orang buta, sopak dan pelbagai penyakit lainnya." Sang pemuda menjawab: "Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah s.w.t."

Gergaji Di Bawah Kepala.
Pemuda tersebut lalu diseksa tanpa henti, sehingga dia terpaksa memberitahu tentang rahib. Kemudian sang rahib datang, dan raja berkata: "Kembalilah kepada ajaran agamamu semula !." Namun dia menolak. Lalu raja meminta pembantunya untuk mengambil gergaji. Kemudian gergaji itu diletakkan di tengah-tengah kepalanya, lalu digergajinya kepala rahib tersebut hingga terbelah menjadi dua.

Kemudian pegawai kerajaan yang dahulunya buta dipanggil agar menghadap raja lalu dikatakan: "Kembalilah kepada agamamu semula !." Dia menolak. Lalu dia dihukum dengan hukuman yang sama iaitu digergaji kepalanya hingga terbelah dua."

Gunung dan Laut.
Seterusnya tibalah giliran pemuda itu. Raja berkata kepadanya: "Kembalilah kepada agamamu semula !." Dia juga menolak. Lalu raja itu memerintahkan beberapa orang suruhan dengan berkata: "Bawalah dia ke gunung ini dan itu, sesampainya kamu semua di puncak gunung, kalau dia mahu kembali kepada agamanya semula, maka lepaskanlah. Tetapi jika tidak, maka lemparkan dia ke dalam jurang."

Mereka pun berangkat dengan membawa pemuda tersebut. Ketika sampai di ketinggian gunung, sang pemuda berdoa: "Ya Allah, jagalah diriku daripada tipu daya mereka, sesuai dengan kehendak-Mu." Tiba-tiba gunung itu bergegar, sehingga mereka tergelincir dan jatuh mati kesemuanya. Selamatlah pemuda itu hingga kemudian dia pergi menemui raja. Raja bertanya: "Apa yang terjadi dengan mereka ?." Pemuda menjawab: "Allah menjagaku daripada mereka."

Sang raja kemudian menghantarnya ke laut dengan beberapa orang pengawal dalam sebuah perahu. Raja berkata: "Jika kamu semua berada di tengah lautan, biarkan dia jika mahu kembali kepada agama semula. Jika tidak, lemparkanlah ia ke dalam lautan."

Sesampainya mereka di laut, sang pemuda berdoa: "Ya Allah, jagalah diriku daripada tipu daya mereka, sesuai dengan kehendak-Mu." Perahu itu lantas terbalik dan mereka semua tenggelam, sementara sang pemuda dapat kembali lagi menghadap raja. Raja pun hairan dan bertanya: "Apa yang terjadi dengan pengawal-pengawalku ?." Pemuda menjawab: "Allah menjagaku daripada mereka."

BismilLahi Robbil Ghulam.
Akhirnya sang pemuda berkata: "Wahai tuanku, tuanku tidak akan dapat membunuhku sehingga tuanku melakukan apa yang ku perintahkan." Raja dengan tegas berkata: "Apa perintahmu ?." Sang pemuda menjawab: "Kumpulkanlah orang-orang dikawasan yang luas, lalu saliblah aku pada sebatang pohon. Setelah itu ambillah anak panah dari sarung panahku, dan letakkanlah di dada lalu ucapkanlah BismilLahi Rabbil Ghulam (dengan nama Allah Tuhan sang pemuda) dan panahlah aku. Jika Tuanku berkenan melaksanakan perintahku bererti Tuanku dapat membunuhku."

Maka raja pun mengumpulkan orang-orang disebuah padang yang luas, dan menyalibnya pada sebatang pohon, dan mengambil panah dari sarung panahnya, kemudian meletakkan di dadanya lalu mengucapkan: "BismilLahi Rabbil Ghulam." Kemudian memanahnya tepat mengenai tulang rusuknya. Pemuda itu meletakkan tangannya di bahagian yang terkena panah lalu meninggal.

Amanna Birabbil Ghulam.
Menyaksikan tragedi ini maka orang-orang yang melihat berkata: "Amanna Birabbil Ghulam." (kami beriman kepada tuhan pemuda tersebut). Lalu seseorang datang menghadap raja dan berkata: "Tahukah tuanku, sesuatu yang pada masa ini tuanku takutkan ?. Kini sesuatu yang sangat tuanku takutkan itu telah tiba, semua orang telah beriman !."

Parit-Parit (Ukhdud).
Raja lalu memerintahkan untuk membuat parti-parti (ukhdud) di beberapa persimpangan jalan, kemudian dinyalakan api di dalamnya. Sang raja bertitah: "Siapa yang menolak kembali kepada agamanya semula bakarlah atau lemparkanlah ke dalam parit." Orang-orang suruhan raja pun melaksanakan perintah raja. Hingga kemudian tiba giliran seorang wanita bersama bayi yang sedang disusuinya. Ketika ibu tersebut teragak-agak untuk terjun ke dalam bara api, tiba-tiba sahaja bayi itu berkata: "Ayuh wahai ibuku !. Sesungguhnya engkau berada di jalan yang benar."

PENGAJARAN.
1- Orang Mukmin sentiasa mendapat cubaan.
2- Orang-orang kafir sentiasa berusaha menzalimi orang Mukmin.
3- Allah sentiasa menjaga dan melindungi orang Mukmin.

No comments:

Post a Comment