‘Uwaimir bin Malik al-Khazraji (Abu ad_Darda')

Abu ad-Darda’ menolak dunia dengan dua tapak tangan dan dadanya. 
[Abdur Rahman bin ‘Auf

‘Uwaimir bin Malik al-Khazraji yang digelar dengan Abu ad-Darda’ bangkit awal dari tidurnya. Beliau menuju kepada berhala yang diletakkannya ditempat paling baik dalam rumahnya. Dengan penuh hormat, beliau mengucapkan selamat pagi kepada berhala tersebut. Beliau terus melumurkannya dengan bauan paling mahal yang terdapat di kedainya. Kemudian beliau memakaikannya dengan baju baru yang diperbuat daripada sutera bermutu. Sutera itu dihadiahkan kepada beliau oleh seorang peniaga dari Yaman semalam. 


Islamnya Abu ad-Darda'
Apabila matahari meninggi Abu ad-Darda’ meninggalkan rumahnya menuju ke kedainya. Tiba-tiba didapati jalan dan lorong yatsrib dipenuhi oleh pengikut Muhammad. Mereka baru pulang dari Badar. Di hadapan mereka terdapat kumpulan tawanan Quraisy. Abu Darda’ mengelakkan diri daripada gerombolan orang Islam itu. 

Tetapi sejurus kemudian beliau menghampiri seorang pemuda Islam daripada kabilah al-Khazraj. Beliau bertanyakan pemuda itu tentang ‘Abdullah bin Rawahah. Pemuda itu memberitahunya: “Abdullah telah berjuang dalam peperangan dengan hebat sekali. Beliau pulang dengan selamat dan memperolehi harta rampasan.” Pemuda itu turut menenangkan Abu Darda’ agar tidak risau. 

Soalan Abu ad-Darda’ mengenai Abdullah bin Rawahah tidak menghairankan pemuda itu. Semua orang tahu akan hubungan persaudaraan antara mereka berdua. Ini kerana, Abu ad-Darda’ dan ‘Abdullah bin Rawahah dahulunya bersaudara semasa jahiliah. Apabila islam datang, Ibnu Rawahah telah memeluk Islam, sebaliknya Abu ad-Darda’ enggan berbuat demikian. 

Abu ad-Darda’ sampai di kedainya. Beliau duduk bersila di atas kerusi tingginya dan memulakan kegiatan jual beli. Beliau leka mengarah dan kadangkala menegah budak-budak suruhannya. Dirinya sedikitpun tidak tahu apa yang berlaku dirumahnya ketika itu. 

Ketika itu, Abdullah bin Rawahah telah pergi ke rumah Abu ad-Darda’. Beliau berazam untuk melakukan sesuatu di rumah temannya itu. Apabila sampai, Abdullah melihat pintu rumah terbuka luas. Isterinya, Ummu ad-Darda’ sedang berada di halaman rumah. Lantas Abdullah memberi salam: “Selamat sejahtera, wahai hamba Allah.” 

“Selamat sejahtera, wahai saudara Abu ad-Darda’.” Balas Ummu ad-Darda’ 

“Mana Abu ad-Darda’ ?.” Tanya Abdullah kembali. 

“Dia pergi ke kedainya dan sekejap lagi dia akan pulang.” Beritahu Ummu ad-Darda’ 

“Adakah kamu izinkan saya masuk ?.” Tanya Abdullah.

“Silakan.” Ummu ad-Darda’ memberikan jalan kepada Abdullah bin Rawahah untuk masuk. Ummu ad-Darda’ terus berlalu kebiliknya untuk mengemas dan menguruskan anak-anaknya. 

Abdullah pula memasuki bilik di mana Abu ad-Darda’ menempatkan berhala sembahannya. Beliau terus mengeluarkan beliungnya dan mendekati berhala itu. Tanpa bertangguh lagi beliau memotong-motongnya, seraya menyeranah: “Bukankah setiap perkara yang disekutukan bersama Allah adalah batil.” Apabila selesai memotong berhala itu, beliau terus meninggalkan rumah Abu ad-Darda’. 

Tidak lama kemudian, Ummu ad-Darda’ masuk ke bilik berhala itu, Beliau amat terkejut melihatkan berhala itu telah terpotong-potong. Bahagian anggotanya berselerakan di atas lantai. Beliau menampar-nampar mukanya sambil berteriak: “Wahai Ibnu Rawahah, kamu telah membinasakan saya !.” 

Sejurus selepas itu, Abu ad-Darda’ pulang kerumahnya. Sesampainya di rumah, beliau melihat isterinya sedang duduk di depan pintu bilik berhala itu. Isterinya menangis dan meraung-raung. Tanda takut jelas terlukis di wajahnya. 

“Apa yang telah berlaku ?.” Tanya Abu ad-Darda’ kehairanan. 

Dengan teresak-esak, isterinya menjawab: “Saudara kamu, Abdullah bin Rawahah datang menziarahi kita ketika kamu tiada. Dia memusnahkan berhala kamu itu.”

Apalagi, Abu ad-Darda’ segera mendapatkan berhalanya. Terkejut apabila dilihatnya telah hancur berkecai. Perasaan marah mula membuak-buak. Beliau ingin menuntut bela terhadap tindakan Abdullah itu. Tetapi, perasaannya mula reda beberapa minit kemudian. Rasa marahnya juga hilang. Beliau mula berfikir. Dirinya berkata: “Jika berhala ini mempunyai kebaikan, nescaya dia akan mempertahankan dirinya daripada kemudaratan yang menimpanya.” 

Beliau terus pergi menemui Abdullah bin Rawahah. Mereka berdua pergi menemui Rasulullah s.a.w. Di hadapan Baginda, Abu ad-Darda’ mengiklankan keislamannya. Dengan itu, beliau merupakan orang terakhir di kalangan penduduk kampungnya yang memeluk islam. 

Menghimpunkan Antara Perniagaan Dan Ibadah
Sejak detik pertama keislamannya Abu ad-Darda’ beribadah kepada Allah sehingga memutuskan dirinya dengan dunia. Beliau mempelajari ilmu seumpama orang yang kehausan. Beliau juga bertungkus-lumus melazami dan menghafal al-Qur’an serta mendalami pengertian ayatnya. Ini kerana beliau berasa kesal kerana telah ketinggalan berbanding para sahabatnya dalam memahami ilmu agama. 

Apabila beliau mendapati perniagaannya mengeruhkan kelazatan beribadah dan menyebabkannya terlepas dari majlis ilmu, beliau meninggalkan perniagaan itu tanpa ragu-ragu dan penyesalan sedikitpun. Ada orang bertanyakan beliau mengenai hal ini. Beliau menjawab: 

“Sebelum memeluk Islam, saya adalah seorang peniaga. Apabila memeluk Islam, saya ingin menghimpunkan antara perniagaan dan ibadah. Tetapi yang saya inginkan tidak berjalan lancar. Dengan itu, saya meninggalkan perniagaan dan menumpukan sepenuhnya kepada ibadah.” 

Kemudian beliau melihat kepada lelaki yang bertanya. Beliau berkata: “Saya tidak kata Allah mengharamkan jual-beli. Tetapi saya suka sekiranya tergolong di kalangan mereka yang tiidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual-beli untuk mengingati Allah.” 

Pada suatu malam yang sangat sejuk, sekumpulan manusia datang bertamu ke rumah Abu ad-Darda’. Beliau menghantar makanan yang masih panas kepada mereka tetapi tidak menghantar selimut. Apabila hendak tidur, mereka mula berbincang mengenai ketiadaan selimut itu. Seorang daripadanya berkata: 

“Biar saya pergi dan bercakap dengan Abu ad-Darda’.” 

“Tak Payahlah.” Bantah yang lain pula. Namun lelaki itu tidak mempedulikan bantahan temannya itu. Beliau terus pergi sehinggalah sampai ke pintu bilik Abu ad-Darda’. Di sana, beliau melihat Abu ad-Darda’ berbaring. Isterinya pula duduk berhampiran dengannya. Mereka berdua hanya memakai baju nipis yang tidak dapat melindungi daripada panas mahupun sejuk. 

Lelaki itu lantas berkata: “Nampaknya keadaan kamu pada malam ini sama sebagaimana kami !. Dimanakah kelengkapan rumah kamu ?.” 

Jawab Abu ad-Darda’: “Rumah kami disana (simbolik kepada akhirat). Setiap kelengkapan atau kemudahan yang kami perolehi akan segera dihantar ke sana. Kalaulah kami masih mempunyai sesuatu kelengkapan dalam rumah ini, nescaya kami telah serahkan kepada kamu. Lagipun dalam perjalanan yang kami lalui untuk ke rumah itu terdapat halangan yang menyusahkan. Membawa bebanan yang berat. Kerana itu, kami ingin meringankan bebanan berat kami, mudah-mudahan kami mampu merentasi halangan tersebut.” 

Dihantar ke Damsyik
Pada zaman pemerintahan al-Faruq r.a, beliau ingin melantik Abu ad-Darda’ sebagai petugasnyadi Syam, tetapi Abu ad-Darda’ menolak. Maka Umar mendesaknya dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya Abu ad-Darda’ berkata: “Jika kamu setuju saya ke sana untuk mengajarkan mereka al-Qur’an,Sunnah Nabi dan mengimamkan sembahyang mereka, saya akan pergi.” Umar setuju dengan cadangan itu. 

Abu ad-Darda’ pun bertolak ke Damsyik. Apabila sampai di sana, beliau mendapati manusia telah bergelumang dengan kemewahan. Mereka tenggelam dalam kenikmatan. Suasana itu mengejutkan beliau. Beliau lantas mengajak orang ramai berkumpul di masjid. Setelah orang ramai berkumpul, beliau bangun berucap: 

“Wahai penduduk Damsyik, kamu semua adalah saudara seagama, jiran tetangga dan penolong melawan musuh. Wahai penduduk Damsyik, apakah yang menghalang kamu daripada mengasihi dan menerima nasihat saya. Padahal saya tidak menuntut apa-apa daripada kamu. Nasihat saya adalah untuk kamu sedangkan nafkah saya bukan kamu yang tanggung. Kenapa saya lihat para ulama’ kamu telah meninggal dunia, namun orang yang jahil masih tidak berlajar ?!. 

Saya juga lihat kamu bersungguh-sungguh mengejar perkara yang Allah telah jamin untuk kamu, sebaliknya kamu meninggalkan perkara yang diperintahkan kepada kamu ?!. Kenapa saya lihat kamu kumpulkan harta yang kamu tidak makan ?!. Kamu membina bangunan yang kamu tidak diami ?!. Kamu berangan-angan perkara yang kamu tidak boleh sampai kepadanya ?!. 

Sesungguhnya umat sebelum kamu telahpun mengumpul harta dan berangan-angan. Tetapi sekejap sahaj, harta yang mereka kumpulkan itu menjadi hancur dan musnah. Angan-angan mereka cuma tipu daya semata-mata. Dan kediaman mereka menjadi Qubur. Wahai penduduk Damsyik, perhatikan kaum Aad. Mereka telah memenuhi bumi ini dengan harta dan ank-pinak. Tapi pada hari ini, siapakah yang mahu membeli peninggalan ‘Aad daripada saya dengan harga dua dirham ?.” 

Abu ad-Darda’ memperingatkan mereka dengan penuh perasaan. Orang ramai mula menangis sehingga suara tangisan dapat didengari dari luar masjid. 

Marah Kerana Perbuatan
Pada suatu hari, beliau lalu berhampiran sekumpulan manusia yang sedang mengerumuni seorang lelaki. Mereka memukul dan mencaci lelaki itu. Beliau pun bertanya kepada mereka: “Apayang berlaku ?.” 

“Lelaki ini telah melakukan dosa besar.” Jawab mereka. 

Abu ad-Darda’ bertanya lagi: “Beritahu saya, apa pandangan kamu jika dia terjatuh ke dalam perigi, bukankah kamu akan mengeluarkannya ?.” 

“Ya.” Balas mereka. 

Abu ad-Darda’ berkata: “Janganlah kamu memaki dan memukulnya. Sebaliknya, berilah peringatan dan kesedaran kepadanya. Bersyukurlah kepada Allah yang menyelamatkan kamu daripada terjerumus ke dalam dosa yang telah dilakukan lelaki ini.”

Mereka mula bertanya kepada Abu ad-Darda’: “Adakah kamu tidak marah kepada lelaki ini ?.” 

“Saya hanya marah kepada perbuatannya. Apabila dia meninggalkan perbuatan itu, dia adalah saudara saya.” Ujar Abu ad-Darda’. Lelaki itu lantas menangis teresak-esak dan menyatakan taubatnya. 

Demikianlah sifat perwatakan Sahabat yang perlu kita contohi. Bukan di mulut bukan juga dihati, tetapi di amalkan, di Zahirkan melalui amal perbuatan harian kita. Ini baru sedikit dari jalan cerita mengenai Abu ad-Darda’ yang saya ambil dari Kitab 65 Gambaran Kehidupan SAHABAT, itupun mungkin ada yang baru baca separuh sudah pergi ke page lain lebih malang lagi terus tutup blog ini. Hmm InsyaAllah akan ada sambungannya nanti. Wallahu a’Lam

Post a Comment