Zaid Bin Haritsah


Demi Allah, Zaid bin Haritsah memang layak memimpin. Beliau juga adalah orang yang paling saya kasihi.
[Rasulullah s.a.w]

Pada suatu hari, Su'da binti Tsaa'labah bertolak untuk menziarahi kaumnya, Bani Ma'nin. Beliau turut membawa anak lelakinya, Zaid bin Haritsah al-Ka'bi. Sebaik sahaja sampai di perkampungan kaumnya, tiba-tiba pasukan tentera Bani al-Qain menyerang mereka. Tentera itu mengambil harta, merampas unta dan menawan wanita serta kanak-kanak. Antara yang ditawan ialah Zaid bin Haritsah.



Zaid pada ketika itu, hanyalah seorang kanak-kanak yang hampir mencecah 8tahun. Mereka membawa Zaid ke pasar 'Ukaz untuk dijual. Akhirnya, beliau dibeli oleh seorang hartawan dan pembesar Quraisy, Hakim bin Hazam bin Khuwailid dengan harga 400 dirham.

Emak saudara Hakim, Khadijah binti Khuwailid mendapat tahu kepulangan beliau. Khadijah pun pergi menziarahi beliau untuk menyambut dan mengucapkan selamat kembali kepadanya. Setelah saling bertanya khabar, Hakim berkata kepada Khadijah binti Khuwailid: "Wahai makcik, saya telah membeli sekumpulan budak sahaya di pasar 'Ukaz. Pilihlah mana yang makcik mahu. Saya jadikannya hadiah kepada makcik."

Sayyidah Khadijah memerhati dan menilik wajah-wajah mereka. Akhirnya beliau memilih Zaid bin Haritsah, terdapat tanda-tanda kecerdikan pada kanak-kanak itu. Setelah itu Khadijah  pun membawanya pulang. Tidak lama selepas itu, Khadijah binti Khuwailid berkahwin dengan Muhammad bin Abdullah. Beliau ingin memberi dan menghadiahkan sesuatu kepad suaminya. Beliau dapati tiada yang lebih baik daripada hemba kesayangannya, Zaid bin Haritsah. Meka dengan penuh rasa cinta, beliau menghadiahkan Zaid kepada suaminya itu.

Antara Rasulullah dan Haritsah bin Syurahil
Pada satu musim haji, sekumpulan kaum Zaid pergi ke Baitullah. Ketika mereka melakukan tawaf di Ka'bah, tiba-tiba mereka terserempak dengan beliau. Mereka mengenali Zaid dan Zaid juga mengenali mereka. Mereka bertanyakan khabar Zaid begitu juga sebaliknya. Setelah selesai menunai ibadah haji dan pulang ke kampung halaman, mereka memberitahu Haritsah perkara yang dilihat dan yang didengar. Alangkah cepatnya Haritsah menyediakan tunggangannya untuk bermusafir. Beliau juga membawa harta untuk menebus anaknya itu. Beliau turut ditemani oleh abangnya Ka'ab. Mereka cepat-cepat menuju Mekah.

Setibanya di Mekah, mereka terus menemui Muhammad bin Abdullah. Mereka berkata: "Wahai cucu 'Abdul Muthalib. Kamu adalah jiran Allah. Kamu membantu orang yang meminta dan memohon perlindunga. Kamu juga memberi makan kepada orang yang lapar dan menolong orang yang dalam kesulitan. Kami datang demi anak kami yang berada bersama kamu. Kami juaha membawa sejumlah harta yang cukup untuk menebusnya. Tolonglah serahkan dia kepada kami. Mintalah berapa banyak harta yang kamu mahu untuk menebusnya." Rayu mereka dengan penuh kesungguhan dan mengharap.

Muhammad bertanya: " Siapakah anak yang kamu maksudkan ?."

Mereka menjawab: "Budak sahaya lelaki kamu, Zaid bin Haritsah."

Muhammad bertanya kembali: "Adakah kamu setuju sengan pilihan yang lebih baik dari tebusan ?."

Mereka bertanya meminta penjelasan: "Apakah pilihan tersebut ?."

Jelas Muhammad: "Saya akan panggil Zaid, kemudian kamu berilah pilihan kepadanya untuk memilih antara saya atau kamu. Jika dia memilih kamu, kamu boleh ambil dia tanpa bayaran. Tetapi jika dia memilih saya, saya tidak menolak pilihannya itu."

Mereka bersetuju seraya berkata: "Kamu telah berlaku adil, bahkan terlalu adil." 

Muhammad pun memanggil Zaid. Baginda bertanya: "Siapakah mereka berdua ini ?."

Ini ayah saya Haritsah bin Syurahil, dan ini bapa saudara saya Ka'ab." Balas Zaid.

Kata Muhammad lagi: "Kamu boleh pilih, jika kamu mahu, kamu boleh pergi bersama mereka. Atau kamu boleh tinggal bersama saya."

Zaid terus menjawab: "Saya akan tinggal bersama kamu."

Mendengar jawapannya itu, ayahnya membentak marah: "Celaka kamu wahai Zaid, Adakah kamu memilih perhambaan, mengatasi ayah dan ibu kamu ? !."

Zaid menjawab tenang: "Sesungguhnya saya mendapati sesuatu yang istimewa pada lelaki ini. Saya tidak sekali-kali akan berpisah dengannya."

Selang beberapa tahun, Allah s.w.t mengutuskan Nabi-Nya, Muhammad dengan agama yang membawa petunjuk dan kebenaran. Dengan itu, Zaid bin Haritsah merupakan orang pertama yang beriman dikalangan lelaki. Zaid bin Haritsah kemudiannya menjadi penyimpan rahsia Rasulullah s.a.w Beliau juga menjadi ketua perutusan dan pasukan tentera yang dihantar oleh Baginda. Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang pengganti Baginda di Madinah semasa Baginda berada di luar Madinah. 

Peperangan Mu'tah
Pada tahun ke-8 hijrah, Rasulullah s.a.w mengutuskan al-Harits bin 'Uwaimir al-Azdi untuk menghantar surat kepada raja Busyra, mengajak beliau kepada Islam. Apabila al-Harits sampai di Mu'tah di timur Jordan, salah seorang pemerintah kerajaan al-Ghasasinah beranama Syurahbil bin Amru menghalang dan menahan beliau. Al-Harits diikat, digiring dan dibunuh. Peristiwa itu sungguh berat untuk diterima oleh Nabi s.a.w. Ini kerana, sebelum itu tiada seorang pun utusan Baginda yang dibunuh.

Baginda melengkapkan tentera seramai 3000 pejuang untuk menyerang Mu'tah. Baginda melantik orang yang dikasihinya, Zaid bin Haritsah sebagai panglima untuk memimpin bala tentera tersebut. Baginda berpesan: "Jika Zaid gugur, kepimpinan akan diambil oleh Ja'far bin Abi Tholib. Jika Ja'far gugur, kepimpinan akan diambil oleh 'Abdullah bin Rawahah. Jika Abdullah gugur pula, maka tentera islam hendaklah memilih seorang lelaki daripada kalangan mereka (sebagai pemimpin)."

Tentera Islam, bertolak sehingga sampai ke Ma'an di timur Jordan. Mendengarkan kedatangan mereka, Maharaja Rom, Hercules segera berangkat mengepelai 100,000 tentera untuk mempertahankan Ghasasinah. Di samping itu, sebanyak 100,000 tentera musyrikin Arab turut bergabung tenaga dengan tentera Rom. Tentera yang besar ini berkhemah tidak jauh daripada kedudukan tentera Islam.

Tentera Islam bermalam di Ma'an selama dua malam. Mereka berbincang mengenai tindakan yang patut diambil. Salah seorang mencadangkan: "Kita utus surat kepada Rasulullah s.a.w dan menceritakan jumlah bilangan musuh. Kemudian kita tunggu apa jawapan Rasulullah."

Namun yang lain berkata: "Demi Allah, wahai kaumku. Sesungguhnya kita berperang bukan kerana bilangan, kekuatan atau tentera yang banyak. Tetapi kita berperang kerana Agama ini. Bergeraklah untuk menghadapi musuh yang menjadi tujuan kamu keluar. Allah s.w.t telah menjamin kejayaan kepada kamu dengan salah satu daripada dua kebaikan samaada kemenangan atau mati syahid

Syahidnya Tiga Panglima Islam
Dua pasukan tentera bertemu di Mut'ah. Pertempuran yang ditunjukkan oleh tentera Islam mengejut dan mengkagumkan tentera Rom. Hati mereka dipenuhi rasa gerun terhadap tentera Islam. Ini kerana 3,000 orang telah berani menggempur tentera mereka yang berjumlah 200,000 orang.

Zaid bin Haritsah berperang bermati-matian menjulang panji Rasulullah s.a.w Keperwiraan seumpama itu, tidak pernah diketahui dalam sejarah kepahlawanan. Tubuhnya dirobek oleh ratusan tikaman tombak. Sehinggalah beliau gugur syahid berendamkan limpahan darah.

Panji tentera islam kemudiannya diambil oleh Ja'far bin Abi Tholib. Beliau juga menunjukkan kepahlawanan yang cukup tinggi sehingga beliau turut mengikut jejak sahabatnya, Zaid. Maka panji tersebut diambil oleh 'Abdullah bin Rawahah. Beliau berjuang dengan penuh keberanian sehingga menerima nasib yang sama dengan dua sahabatnya sebelum itu.

Dalam situasi yang genting itu, tentera Islam segera melantik Khalid al-Walid sebagai panglima mereka. Beliau pada ketika itu baru memeluk Islam. Beliau berjaya mengundurkan tentera Islam dan menyelamatkan mereka daripada kebinasaan yang pasti.

Berita peperangan di Mu'tah dan kematian 3 panglimanya sampai kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w Baginda sangat bersedih di atas peristiwa itu.  Tidak pernah Baginda bersedih sedemikan rupa. Baginda pergi melawat kaum keluarga mereka untuk mengucapkan takziah. 

Apabila Rasulullah ke rumah Zaid bin Haritsah, anak perempuan kecilnya meluru berlari ke arah Baginda sambil menangis bercucuran air mata. Lantas Baginda turut menangis teresak-esak. Melihatkan suasana demikian, Saad bin Ubadah bertanya kepada Rasulullah: "Apakah ini, wahai Rasulullah ?."

"Ini adalah tangisan kekasih kepada orang yang dikasihinya." Jawab Baginda.

Begitu besarnya rasa kecintaan Baginda s.a.w keatas Zaid bin Haritsah ...

Post a Comment