Usamah bin Zaid bin Haritsah


Sesungguhnya bapa Usamah lebih dikasihi oleh Rasulullah daripada bapa kamu dan dia (Usamah bin Zaid) lebih dikasihi oleh Rasulullah daripada kamu. 
[Kata-kata ‘Umar al-Khattab kepada anaknya

Ibu kepada Usamah bin Zaid ialah Barakah al-Habasiyyah yang dipanggil Ummu Aiman. Beliau dahulunya hamba perempuan yang dimiliki oleh Aminah binti Wahab, iaitu ibu Rasulullah s.a.w. Dialah yang mengurus Nabi sewaktu ibunya masih hidup, yang menjaga Nabi selepas ibunya meninggal. Sewaktu kedua mata Baginda membuka mata kepada dunia, Baginda tidak mengenali ‘ibu’ lain untuk dirinya selain Ummu Aiman ini. 


Baginda s.a.w sangat mengasihi beliau dengan sedalam-dalamnya. Baginda juga selalu menyebut: “Dialah ibuku selepas ibuku, dan ahli keluargaku yang lain.” 

Inilah latar belakang ibu budak lelaki yang bertuah itu. Manakala bapanya ialah orang yang dikasihi Rasulullah s.a.w iaitu Zaid bin Haritsah (sila klikk di link yang disediakan untuk mengetahui kelebihan Zaid bin Haritsah). Mereka mengeluarkan Usamah bin Zaid dengan gelaran orang yang dikasihi dan anak orang yang dikasihi. 

Besarnya Cinta Baginda s.a.w Terhadap Usamah bin Zaid
Kecintaan Nabi s.a.w terhadap Usamah bin Zaid sampai ke tahap pada suatu ketika Usamah tersungkur berlanggar dengan bendul pintu. Keningnya luka berdarah. Nabi s.a.w meminta Aisyah r.a. supaya membersihkan darah lukanya itu, tetapi Aisyah tidak sanggup melakukannya (mungkin kerana gerund an tidak tahan melihat darah. Lantas Baginda sendiri yang melakukannya. Baginda menghisap tempat luka dan mengeluarkan darah. Sambil Baginda membisikkan kalimah-kalimah dengan penuh kasih sayang dan menenangkan jiwa. 

Satu ketika, Hakim bin Hazam seorang kenamaan Quraisy menghadiahkan sehelai baju yang mahal. Beliau membelinya di Yaman dengan harga 50 dinar emas. Baju ini adalah milik Zi Yazan, salah seorang raja Yaman. Bagaimanapun, Rasulullah s.a.w enggan menerima hadiahnya itu, kerana ketika itu Hakim masih seorang Musyrik. Sebaliknya Baginda mengambil dengan membayar harganya. 

Nabi s.a.w memakai baju itu sekali sahaja pada hari Jumaat. Selepas itu Baginda s.a.w memberikannya kepada Usamah bin Zaid. Beliau memakai baju itu ketika bersama teman sebayanya, pemuda Muhajirin dan Ansar pagi dan petang. 

Keinginan Usamah bin Zaid Berjihad
Pada hari peperangan Uhud, Usamah bin Zaid bersama sahabat-sahabat yang masih kecil datang meminta izin untuk berjihad di jalan Allah s.w.t. Sebahagian mereka diterima dan yang lain ditolak oleh Rasulullah s.a.w kerana usia mereka masih kecil, ini termasuklah Usamah bin Zaid. Beliau beredar dengan linangan air mata kerana sedih tidak dapat turut serta berjihad di bawah panji Rasulullah s.a.w. 

Dalam peperangan Khandaq pula, sekali lagi Usamah bin Zaid bersama-sama sahabat yang masih remaja datang meminta izin untuk berperang. Beliau menjingkit agar nampak lebih tinggi, supaya diberi keizinan Rasulullah. Nabi s.a.w bersimpati lalu memberikan keizinan kepada beliau. Dengan itu, beliau telah membawa pedang berjihad pada jalan Allah, ketika baru berusia 15 tahun. 

Dalam peperangan Hunain, iaitu ketika orang Islam menerima kekalahan, Usamah bin Zaid bersama al-Abbas, bapa saudara Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan keutuhan mereka. Begitu juga Abu Sufyan bin al-Harits, sepupu Rasulullah dan enam orang sahabat yang mulia. Dengan kumpulan kecil yang mempunyai keimanan dan keberanian ini, Nabi s.a.w berjaya menukar kekalahan sahabatnya dengan kemenangan. Dengan kumpulan ini juga, Nabi dapat melindungi orang -orang Islam yang lari dari dirobekkan oleh orang Musyrik. 

Dalam peperangan Mu’tah pula, Usamah bin Zaid berjihad dibawah panji ayahnya, Zaid bin Haritsah. Umurnya ketika itu belum mencecah 18 tahun. Beliau melihat dengan kedua matanya kematian ayahnya. Namun, beliau sedikitpun tidak merasa lemah dan hilang semangat. Sebaliknya beliau terus berperang dibawah panji Ja’far bin Abi Tholib sehingga Ja’far juga terbunuh di depan matanya. Kemudian beliau terus berjuang di bawah panji ‘Abdullah bin Rawahah sehingga Abdullah juga turut terbunuh. Beliau terus berjuang di bawah panji Khalid al-Walid sehinggalah tentera yang kecil ini dapat diselamatkan daripada cengkaman tentera Rom. 

Usamah bin Zaid Dilantik Panglima
Pada tahun ke-11 Hijrah, Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya satu angkatan tentera dilengkapkan untuk menyerang Rom. Dalam angkatan itu, Baginda melibatkan sahabat-sahabat yang senior iaitu Abu Bakr, Umar, Sa’ad bin Abi Waqas, Abu Ubaidah al-Jarrah serta lain-lain lagi. Manakala Usamah bin Zaid dilantik menjadi panglima tentera itu. Sedangkan pada ketika itu, umur beliau tidak lebih dari 20 tahun. Nabi s.a.w memerintahkan supaya beliau memijakkan kaki kudanya di sempadan al-Balqa’ dan Qal’ah ad-Darum yang terletak berhampiran dengan Ghazzah yang merupakan sebahagian daripada negeri Rom. 

Sedang tentera Islam bersiap, Rasulullah s.a.w sakit. Apabila sakit Baginda semakin tenat, tentera Islam menangguhkan perjalanan sehinggalah keadaaan Rasulullah menjadi lebih stabil. Kata Usamah: “Apabila sakit Rasulullah menjadi lebih tenat, saya dan orang ramai pergi melawat Baginda. Saya masuk menemui Rasulullah. Saya dapati Baginda diam tidak bercakap kerana kesan kesakitan tenat yang menghimpitnya. Baginda mengangkat tangannya ke langit dan memegang saya. Maka saya tahu Baginda berdoa untuk saya. 

Selepas kewafatan Baginda s.a.w, pemerintahan dibai’ahkan kepada Abu Bakr. Abu Bakr memerintahkan untuk mengutus tentera Usamah. Tetapi sebilangan orang Ansar berpendapat, pengutusan tentera itu hendaklah dilewatkan sedikit. Mereka meminta Umar bin al-Khattab r.a bercakap dengan Abu Bakr mengenai hal ini. Mereka juga berkata: “Jika Abu Bakr tidak bersetuju juga, sampaikanlah pandangan kami supaya dilantik seorang lelaki yang lebih senior lagi umurnya daripada Usamah bin Zaid.” 

Apabila Abu Bakr as-Siddiq mendengar permohonan orang-orang Ansar daripada Umar, beliau bingkas bangun dan terus memegang janggut Umar al-Faruq. Beliau berkata dalam keadaan marah: “Semoga ibumu kehilangan kamu wahai Ibnu al-Khattab !. Nabi s.a.w telah melantik beliau dan kamu memerintahkan aku memecatnya ?. Demi Allah sekali-kali ia tidak akan berlaku !. ” 

Apabila Umar r.a balik menemui orang ramai terutama oranng-orang Ansar, mereka bertanya apa yang beliau lakukan. Kata Umar: “Pergilah kamu, Semoga ibu kamu kehilangan kamu, saya telah menerima celaan daripada Khalifah kerana kamu !.” 

Apabila tentera Islam yang dipimpin oleh Usamah bin zaid itu bertolak, Khalifah Rasulullah, Abu Bakr mengiringinya dalam keadaan berjalan kaki sedangkan Usamah menunggang. Kata Usamah bin zaid: “Wahai Khalifah Rasulullah, demi Allah! Samaada kamu yang menunggang atau saya yang turun.” 

Abu Bakr menolak: “Demi Allah kamu tidak akan turun dan saya tidak akan menunggang. Apalah salahnya kedua kakiku berdebu di jalan Allah s.w.t seketika. Saya serahkan kepada Allah untuk menjaga Agama, amanah dan penghujung amalan kamu. Saya juga berpesan agar kemu melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Rasulullah.” 

“Jika kamu berpandangan boleh menolong saya dengan Umar, izinkanlah beliau tinggal bersama saya.” Pohon Abu Bakr. Usamah mengizinkannya. 

Usamah bin Zaid bertolak membawa tentera Islam, Beliau melaksanakan setiap perintah Rasulullah s.a.w. Beliau membawa angkatan tentera Islam memijak sempadan al-Balqa’ dan Qal’ah ad-Darum di Palestin. Beliau membuang kehebatan Rom dari hati orang beriman. Beliau juga merintis jalan untuk pembukaan Negara Syam, Mesir, seluruh Utara Afrika sehingga samudra yang gelap pekat. 

Kemudian Usamah kembali. Beliau pulang dengan menunggangi pelana kuda dimana di atas kuda itulah ayahnya Zaid bin Haritsah terbunuh. Beliau membawa harta rampasan yang mengatasi anggaran orang yang menganggar, sehingga ada yang berkata: “Sesungguhnya tidak pernah dilihat pasukan tentera yang pulang lebih selamat dan lebih banyak mendapat harta rampasan berbanding Usamah bin Zaid.” 

Umar Menyanjung Usamah bin Zaid
Usamah terus menjadi tempat penghormatan dan kasih sayang orang Islam selama hidupnya berpanjangan, kerana rasa setia kepada Rasulullah dan penghormatan kepada peribadi Usamah. 

Al-Faruq memberikan gaji kepada beliau melebihi gaji yang diberikan kepada anaknya ‘Abdullah bin Umar. ‘Abdullah memprotes: “Wahai ayah, ayah berikan 4,000 kepada Usamah bin Zaid sedangkan kepada saya, ayah hanya berikan 3,000 sahaja. Padahal kelebihan ayahnya bukanlah lebih banyak daripada kelebihan ayah. Beliau pula tidak memiliki kelebihan mengatasi saya.” 

Tetapi al-Faruq menyangkah: “Kamu telah jauh menyimpang. Sesungguhnya ayahnya lebih dikasihi Rasulullah daripada ayah kamu, Usamah bin Zaid sendiri lebih dikasihi oleh Rasulullah daripada kamu.” 

Penjelasan itu menyebabkan ‘Abdullah bin Umar redha dengan gaji yang diberikan kepadanya. Umar bin al-Khattab r.a pula, apabila bertemu atau terserempak dengan Usamah bin Zaid, beliau akan berkata: “Selamat datang wakai ketua ku.” 

Apabila beliau melihat ada orang berasa hairan dengan kata-kata itu, beliau akan menerangkan dengan katanya: “Rasulullah pernah melantik beliau menjadi ketua keatas ku..” 

Semoga Allah merahmati jiwa-jiwa yang besar ini. Sejarah tidak pernah mengenali mereka yang lebih agung, lebih sempurna dan lebih mulia daripada para sahabat Rasulullah s.a.w.

Post a Comment