Anas bin Malik

Ya Allah kurniakanlah kepadanya harta dan anak. Berkatilah dia.
[Doa Rasulullah s.a.w]

Anas bin Malik diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh ibunya Ghumaisho’ ketika masih usia kanak-kanak. Anak ini amat bercita-cita untuk menjejaki Nabi di Mekah, atau kalau boleh Rasul s.a.w yang agung datang ke Yatsrib agar dia gembira dapat melihatnya dan girang bertemunya.



Kedatangan Rasulullah s.a.w
Tidak berapa lama kemudian, Yatsrib dikejutkan dengan berita gembira. Bahwa Nabi s.a.w dan sahabatnya Abu Bakr as-Siddiq dalam perjalanan menuju Yatsrib. Mendengar berita tersebut, keriangan memenuhi setiap rumah dan kegembiraan mengisi setiap perasaan. Mata dan hati bertaut dengan jalan yang akan dilalui oleh Nabi s.a.w dan sahabatnya untuk sampai ke Yatsrib. 

Setiap menjelang pagi anak-anak berarak girang sambil menjerit: “Muhammad datang. Muhammad datang…” Anas dan teman-temannya berlari ke arah anak-anak yang menjerit. Namun dia tidak melihat pun kelibat Muhammad s.a.w Lalu dia pulang kecewa dan sedih.

Pada suatu pagi, terdengar beberapa orang berlaung: “Muhammad dan sahabatnya telah hampir sampai dengan Yatsrib !.” Orang ramai segera bergegas menuju jalan yang akan dilalui oleh Nabi s.a.w dan sahabatnya. Mereka berlumba-lumba untuk sampai, kelompok demi kelompok. Golongan kanak-kanak termasuklah Anas bin Malik turut menyelit dan mencelah gerombolan tersebut. Jelas tampak di wajah mereka raut kegirangan yang memenuhi perasaan kegembiraan mereka.

Rasulullah s.a.w dan sahabatnya Abu Bakr sampai. Unta yang dinaiki berjalan di celah-celah orang ramai yang bersesak-sesak. Wanita dan anak-anak kecil yang berada di rumah, naik ke tingkat atas untuk melihat Rasulullah s.a.w Mereka tertanya-tanya: “Yang mana satu dia, yang mana satu Rasulullah ?.” Itulah hari yang tidak dapat dilupakan. Hinggakan kenangan itu masih terus basah dalam ingatan Anas walaupun umurnya telah menjangkau lebih 100 tahun.

Hadiah Ghumaisho' terhadap Nabi s.a.w
Tidak berapa lama Rasulullah s.a.w berada di Madinah, Ghumaisho’ binti Milhan, ibu Anas datang bertemu Baginda. Beliau turut membawa bersama anaknya, Anas yang masih kecil tersebut. Anas berlari-lari dihadapan Rasulullah. Setibanya di hadapan Nabi s.a.w beliau member salam.:

“Wahai Rasulullah, semua lelaki dan wanita Ansar telah member hadiah kepada tuan. Namun saya tiada apa-apa yang boleh saya hadiahkan selain anak saya ini, ambillah dia. Dia akan berkhidmat untuk tuan mengikut apa sahaja yang tuan mahu.” Kata ibu Anas kepada Nabi s.a.w.. Rasulullah s.a.w amat gembira dan menyambut anak tersebut dengan tersenyum manis. Baginda mengusap-usap kepala Anas. Lalu, Baginda menjadikannya sebahagian anggota keluarganya.

Anas bin Malik baru berumur 10 tahun ketika beliau mula berkhidmat dengan Nabi s.a.w. Beliau hidup bersama dan dibawah jagaan Nabi sehingga Baginda s.a.w bertemu menghadap Allah s.w.t. Oleh itu jangka masa beliau bersama Baginda genap 10 tahun. Anas peka dengan hadis Nabi s.a.w dan ia memenuhi dadanya. Beliau mengetahui keadaan, kisah, rahsia dan sifat mulia Baginda yang tidak diketahui oleh orang lain.

Kata Anas bin Malik: “Rasulullah s.a.w merupakan manusia yang paling berakhlak mulia, amat berlapang dada dan terlalu penyayang. Suatu hari Baginda meminta saya pergi menyelesaikan satu urusan. Lalu saya pun keluar. Sedangkan ketika itu saya pergi bermain dengan rakan sebaya saya di pasar. Maka saya tidak pergi ke tempat yang Rasulullah maksudkan. Sesampainya saya ke tempat rakan-rakan saya, saya rasa ada orang berdiri di belakang saya dan dia memegang baju saya. Saya pun berpaling, saya lihat Rasulullah tersenyum seraya berkata: “Wahai Unais (panggilan manja terhadap Anas), adakah kamu telah pergi ke tempat saya suruh tadi ?.”

Saya rasa bersalah dan berkata: “Baiklah, saya akan pergi sekarang juga wahai Rasulullah.” Demi Allah!. Saya telah berkhidmat dengan Nabi s.a.w selama 10 tahun. Tidak pernah sekalipun Rasulullah berkata: “Mengapa kamu buat begitu.” Jika saya melakukan sesuatu. Apabila saya tidak melakukan sesuatu perkata, Baginda juga tidak pernah berkata: “Mengapa kamu tidak lakukannya ?.”

Terlalu banyak nasihat dan peringatan Rasulullah s.a.w kepada beliau. Lantaran itu Nabi s.a.w pernah berpesan kepada beliau: “Wahai anakku, jika kamu mampu pada waktu pagi dan petang tidak berdendam dengan sesiapa, lakukanlah. Wahai anakku itu merupakan sunnahku. Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, sesungguhnya dia mencintaiku. Sesiapa yang mencintaiku sesungguhnya dia akan bersamaku di syurga. Wahai anakku, jika kamu pulang bertemu keluargamu, berikanlah salam kepada mereka. Kerana ia akan membawa keberkatan kepadamu juga keluargamu.”

Menjadi Rujukan kepada Para Sahabat dan Tabi'en.
Selepas kewafatan Nabi s.a.w Anas bin Malik hidup lebih 80 tahun. Sepanjang usia tersebut beliau mengisi dada-dada sahabat dan tabien dengan ilmu yang diperolehinya daripada Rasulullah s.a.w yang agung. Beliau memenuhkan fikiran mereka dengan fiqh nubuwwah. Beliau menghidupkan perasaan sahabat dan tabien dengan petunjuk Nabi s.a.w juga dengan sabda dan keperibadian agung Rasul s.a.w yang disebarkannya kepada orang ramai.

Sepanjang umur Anas yang lama itu., beliau menjadi rujukan masyarakat Islam. Mereka segera bertemu Anas jika mereka buntu tentang sesuatu masaalah. Mereka juga berpegang dengan pandangan beliau jika mereka tidak mampu memahami sesuatu hukum.

Ada sesetengah orang yang suka berdebat tentang perkara agama, mereka membincangkan tentang adakah kolam Nabi s.a.w pada hari kiamat benar-benar wujud. Lalu mereka pergi bertanya kepada Anas bin Malik. Jawabnya: “Saya tidak sangka saya hidup sehingga saya bertemu orang seperti kamu semua yang berdebat tentang kolam tersebut. Saya telah tinggalkan di belakang saya, wanita-wanita yang lanjut usia. Siapa saja di kalangan mereka bersembahyang, dia pasti akan memohon agar dikurniakan untuk meneguk air kolam Nabi s.a.w.

Anas bin Malik sentiasa hidup dengan memori bersama Rasulullah s.a.w sepanjang hayatnya. Beliau amat gembira ketika kali pertama bertemu Nabi s.a.w.. Manakala air mata kesedihannya bercucuran ketika hari kewafatan Baginda s.a.w. Beliau sering mengulang-ulang kata-kata Baginda. Anas bin Malik juga bersungguh-sungguh untuk mengikuti perbuatan dan kata-kata Rasulullah s.a.w.. Cinta apa yang dicintainya. Benci apa yang dibencinya.

Beliau sering mengulang kata-kata: “Sesungguhnya saya telah melihat wajah Nabi s.a.w ketika hari Baginda masuk ke Madinah. Saya juga melihat Baginda ketika hari beliau diambil daripada kami. Pada saya tiada hari yang setanding dengan dua hari tersebut. Pada hari Baginda masuk ke Madinah, seluruh Madinah bersinar. Manakala tatkala pada hari Baginda pergi menghadap Illahi, gelap seluruh Madinah.”

Kali terakhir saya melihat Baginda adalah pada hari Isnin ketika tirai bilik Baginda dibuka. Saya lihat wajah Baginda seperti helaian kertas mushaf. Ketika itu orang ramai berdiri di belakang Abu Bakr sambil mereka melihat Baginda s.a.w. Mereka hampir-hampir tidak tentu arah melihat keadaan Rasulullah. Namun Abu Bakr mengisyaratkan agar mereka bertenang. Pada lewat hari tersebut Rasulullah s.a.w wafat. Kami tidak pernah melihat permandangan yang lebih pelik pada kami berbanding wajah Baginda s.a.w ketika kami menimbuskan pasir keatasnya.

Makbulnya Doa Rasulullah Terhadap Anas
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w beberapa kali mendoakan Anas bin Malik. Antara doa Baginda: “Ya Allah kurniakanlah kepadanya harta dan anak. Berkatilah dia.” Allah Taala memakbulkan doa Nabi-Nya. Anas merupakan orang Ansar yang paling kaya dan paling ramai zuriat. Bilangan anak dan cucunya melebihi seratus orang. Alla s.w.t juga memberkati umurnya sehingga Beliau hidup selama 103 tahun.

Anas bin Malik r.a amat berharap memperolehi syafa’at Nabi s.a.w pada hari kiamat kelak. Beliau sering berkata: “Sesungguhnya saya berharap dapat bertemu Rasulullah s.a.w pada hari kiamat. Saya akan katakana kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, ini khadam kecilmu Unais.”

Tatkala Anas bin Malik jatuh sakit dan hampir meninggal dunia, beliau berkata kepada kaum keluarganya: “Ajarkan saya ‘La ilaha illa Allah’.” Beliau terus melafazkannya sehingga meninggal dunia. Beliau mewasiatkan agar tongkat pendek kepunyaan Rasulullah s.a.w dikebumikan bersama-sama jenazahnya. Maka tongkat tersebut diletakkan di dalam bajunya.

Post a Comment