Ikrimah bin Abu Jahal al-Makhzumi

Ikrimah akan datang kepada kamu dalam keadaan beriman dan berhijrah. Janganlah kamu mencaci ayahnya. Sesungguhnya mencaci si mati akan menyakiti perasaan yang hidup sedangkan ia tidak sampai kepada si mati. 
[Muhammad Rasulullah] 

Sewaktu Nabi s.a.w melakukan secara terang-terangan mengajak manusia kepada kebenaran dan petunjuk, Ikrimah berada dalam lingkungan umur tiga puluhan. Beliau adalah antara orang Quraisy yang ternama, paling banyak harta dan paling mulia nasab keturunan. Ayah Ikrimah ialah seorang penguasa paling bongkak di Mekah, ketua syirik nombor satu dan yang selalu mengenakan seksaan kepada orang-orang Islam. 


Dengan sikap keras ayahnya itu, Allah s.w.t telah menguji keimanan mereka yang beriman. Bagaimanapun mereka tetap utuh beriman. Dengan tipu helah ayahnya, Allah s.w.t telah menguji kejujuran orang-orang beriman dan ternyata mereka benar-benar tulus jujur. 

Penentangan Ikrimah Terhadap Islam
Ikrimah bin Abu Jahal al-Makhzumi mendapati dirinya terdorong untuk memusuhi Nabi s.a.w ekorang kedudukan ayahnya sebagai pemimpin musyrikin. Dengan itu beliau sangat memusuhi Nabi s.a.w. Beliau juga menyakiti sahabat Nabi dengan teruk sekali. Beliau juga menimpakan bencana kepada Islam dan pengikutnya. Perbuatannya itu menggembirakan dan memuaskan hati ayahnya. 

Sewaktu ayahnya mengetuai peperangan syirik pada hari Badar, ayahnya telah bersumpah kepada al-Laata dan al-Uzza bahawa beliau tidak akan pulang ke Mekah melainkan setelah menewaskan Muhammad. Apabila sampai di Badar, Abu Jahal bersama orang-orang Quraisy berada di situ selama tiga hari. Mereka menyembelih unta, meminum arak dan dihiburkan oleh para penyanyi perempuan dengan memakaikan alat-alat muzik. 

Dalam peperangan ini, Ikrimah menjadi tunggak dan penyokong beliau yang diharapkan. Tetapi al-Laata dan al-Uzza tidak menyahut seruan Abu Jahal kerana ia tidak mendengar. al-Laata dan al-Uzza juga tidak menolong beliau kerana ia tidak berupaya berbuat apa-apa. Beliau terbunuh tanpa memenangi peperangan Badar. Ikrimah dengan kedua matanya melihat sendiri tombak tentera Islam menumpahkan darah ayahnya. Kedua telinganya pula mendengar raungan yang terpancul keluar daripada kedua bibir ayahnya itu. 

Ikrimah terpaksa kembali ke Mekah meninggalkan mayat ketua Quraisy yang terkorban di Badar itu. Kekalahan pada hari itu telah menghalangnya daripada membawa pulang jenazah ayahnya untuk dikebumikan di Mekah. Semenjak hari itu, Ikrimah bin Abu Jahal al-Makhzumi mula memusuhi Islam kerana dendam atas kematian ayahnya. 

Kehebatan Dua Panglima Quraisy
Ikrimah bin Abu Jahal telah keluar menuju ke Uhud. Bersama-sama beliau ialah isterinya Ummu Hakim. Beliau membawanya bersama untuk bergabung dengan wanita lain yang kematian sanak-saudara tanpa sebarang pembelaan dalam peperangan Badar. 

Quraisy telah melantik Khalid al-Walid untuk mengetuai pasukan berkuda bagi sayap kanan. Manakala Ikrimah bin Abu Jahal dilantik sebagai ketua berkuda bagi sayap kiri. Pada hari itu, kedua panglima berkuda Quraisy ini telah menimpakan bencana yang cukup berat kepada tentera Islam. Sehingga neraca keputusa telah memihak kepada tentera Quraisy mengatasi Muhammad dan sahabat-sahabatnya. Kesannya, musyrikin telah mencapai kemenangan yang besar. Hinggakan Abu Sufian dengan bangga berkata: “Ini sebagai balasan untuk peperangan Badar.” 

Ikramah Meninggalkan Mekah Menuju Ke Yaman
Pada hari pembukaan kota Mekah, Quraisy berpandangan mereka tidak lagi mampu untuk berhadapan dengan Muhammad dan sahabatnya. Mereka memutuskan untuk memberi jalan kepada Muhammad memasuki Mekah. Keputusan itu diambil setelah mereka mengetahui Rasulullah s.a.w memerintahkan ketua-ketua pasukan tenteranya supaya jangan memerangi penghuni Mekah melainkan orang yang memerangi mereka. 

Namun Ikrimah bin Abu Jahal dan beberapa individu lain tidak bersama orang Quraisy dalam hal ini. Mereka cuba menghalang tentera yang besar itu. Bagaimanapun Khalid al-Walid yang ketika itu telahpun memeluk Islam dengan mudah mengalahkan mereka dalam satu pertempuran kecil. 

Kesan kejadian itu, Ikrimah bin Abu Jahal menjadi tidak keruan dan menyesal. Dia tidak selamat dan tenteram lagi berada di Mekah, setelah kota tersebut tunduk kepada Islam. Rasulullah s.a.w telah memaafkan segala perbuatan Quraisy terhadap Baginda, kecuali beberapa orang yang diperintahkan Baginda untuk bunuh apabila bertemu sekalipun ditemui berselindung di sebalik kelambu Ka’bah. Antara nama dikehendaki yang berada disenarai teratas ialah Ikrimah bin Abu Jahal. Oleh sebab itu, beliau telah sembunyi-sembunyi keluar dari kota Mekah menuju ke Yaman. 

Jaminan Rasulullah Terhadap Ikrimah
Pada masa itu, Ummu Hakim isteri Ikrimah bin Abu Jahal bersama beberapa wanita lain telah pergi berjumpa dengan Nabi s.a.w untuk melakukan bai’ah. Ummu Hakim berkata: “Wahai Rasulullah !. Ikrimah telah melarikan diri ke Yaman kerana bimbang tuan akan membunuhnya. Berilah jaminan keamanan kepadanya, semoga Allah member keamanan kepada tuan.” 

Nabi s.a.w lantas bersabda: “Dia beroleh jaminan itu.” 

Mendengar jaminan tersebut, Ummu Hakim segera bergegas keluar mencari suaminya Ikrimah bin Abu Jahal. 

Ummu Hakim meneruskan perjalanannya sehinggalah beliau bertemu dengan Ikrimah di tepi laut berhampiran daerah Tihamah. Suaminya sedang membuat tawar-menawar dengan seorang kelasi kapal yang beragama Islam untuk membawanya ke Yaman. Namun kelasi itu memberi syarat kepadanya: “Bersucilah sebelum saya membawa kamu.” 

“Bagaimana saya hendak bersuci ?.” Tanya Ikrimah. 

“Kamu menyebut ‘Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah’.” Jawab kelasi kapal itu dengan tegas. 

“Saya lari tidak lain kerana ini !.” Bantah Ikrimah. 

Sedang mereka berdua bertelingkah, Ummu Hakim tampil ke hadapan Ikrimah seraya berkata: “Wahai sepupuku, saya datang kepada kamu dari orang yang paling kuat menghubungkan silaturrahim, orang yang paling suka berbuat kebajikan dan orang yang paling baik. Saya datang daripada Muhammad bin Abdullah. Saya telah meminta jaminan keamanan untuk kamu daripadanya. Baginda telahpun memperkenankannya. Janganlah kamu membinasakan dirimu.” 

Bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengar, Ikrimah bertanya inginkan kepastian: “Kamu sendiri bercakap dengannya ?.” 

“Ya, saya sendiri telah bercakap dengannya. Dia telah memberi jaminan keamanan kepada kamu.” Jawab Ummu Hakim. Beriya-iya beliau cuba meyakinkan suaminya. Ummu Hakim terus memujuk dan menenangkan suaminya hinggalah Ikrimah pulang bersamanya. 

Semasa perjalanan, mereka berdua telah singgah di suatu persinggahan. Ketika di sana, Ikrimah ingin menggauli isterinya. Tetapi isterinya berkeras enggan. Dia memberi alasan: “Saya seorang wanita Islam sedangkan kamu seorang musyrik.” 

Ikrimah berasa sungguh hairan sambil berkata: “Sesungguhnya perkara yang menghalang kamu dan saya daripada bersama adalah suatu perkara yang cukup agung.” 

Keislaman Ikrimah bin Abu Jahal al-Makhzumi 
Apabila Ikrimah hampir tiba ke kota Mekah. Rasulullah s.a.w berpesan kepada para sahabatnya: “Ikrimah akan datang kepada kamu dalam keadaan beriman dan berhijrah. Janganlah kamu mencaci ayahnya. Sesungguhnya mencaci si mati akan menyakiti perasaan yang hidup sedangkan ia tidak sampai kepada si mati.” 

Tidak berapa lama kemudian, Ikrimah bersama isterinya tiba ke majlis Nabi s.a.w. Apabila Baginda melihat beliau, Baginda terus meluru ke arahnya tanpa sempat memakai rida’ Baginda terlalu gembira dengan kedatangan beliau. Apabila Nabi s.a.w duduk, Ikrimah berdiri di hadapannya seraya berkata: “Wahai Muhammad, Ummu Hakim telah memberitahu saya bahawa kamu telah memberi jaminan keselamatan kepada saya.” 

“Benar. Kamu dijamin keselamatannya.” Akur Nabi s.a.w. 

“Apakah intisari seruan kamu.” Ikrimah bertanya lagi. 

“Saya berseru agar kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan saya adalah hamba Allah dan pesuruh-Nya, kamu mendirikan solat dan mengeluarkan zakat..” Jawab Baginda sambil menyebut kesemua rukun Islam. 

“Demi Allah!. Kamu mengajak kepada kebenaran dan memerintah ke arah kebaikan. Demi Allah!. Sebelum kamu menyeru kepada seruan kamu ini, kamu adalah orang yang paling benar percakapannya dan orang yang paling banyak melakukan kebajikan.” Puji Ikrimah. Kemudiannya berikrar dengan Syahadatain ya’ni mengucap dua kalimah syahadah. 

Kemudian Ikrimah berkata lagi: “Wahai Rasulullah !. Ajarkan kepada saya kata-kata yang paling baik untuk saya ucapkan.” 

Nabi s.a.w menerangkan: “Kamu sebut; ‘Saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya’. Dan berikrar; ‘Saya bersaksikan Allah, dan mereka yang hadir di sini bahawa saya adalah seorang muslim, mujahid dan seorang yang berhijrah.” Jawab Baginda. 

Tanpa fikir panjang, Ikrimah mengikrarkan semua itu. Dengan itu Nabi s.a.w bersabda kepadanya: “Pada hari ini, kamu tidak minta daripada saya sesuatu yang pernah saya berikan kepada seseorang, melainkan saya akan berikannya kepada kamu.” 

Maka Ikrimah memohon dengan penuh hormat: “Sesungguhnya saya memohon kepada tuan agar meminta keampunan bagi saya di atas segala permusuhan yang saya lakukan, semua perjalanan yang saya tempuhi, seluruh pertembungan dengan tuan yang saya terlibat dan setiap kenyataan saya mengenai tuan baik dihadapan ataupun dibelakang tuan.” 

Rasulullah s.a.w lantas berdoa: “Ya Tuhanku, ampunkan baginya setiap permusuhan yang telah dilakukan kepada saya dan setiap perjalanan yang dilaluinya untuk memadamkan cahaya-Mu. Dan ampunkan baginya apa sahaja yang disebutkan menyentuh maruahku baik dihadapan mahupun dibelakangku.” 

Muka ikrimah terpancar kegembiraan. Seraya berkata: “Wahai Rasulullah !. Demi Allah saya tidak akan biarkan satu pun perbelanjaan yang telah saya belanjakan untuk menghalang jalan Allah, melainkan saya akan belanjakan satu kali ganda daripadanya di jalan Allah. Tiada satu peperangan yang telah saya lakukan untuk menghalang jalan Allah melainkan saya lakukannya satu kali ganda untuk jalan Allah.” 

Keberanian Ikrimah Dalam Peperangan Yarmuk
Ketika peperangan Yarmuk, Ikrimah memasuki pertempuran seolah-olah orang yang dahagakan air yang dingin pada hari panas terik. Apabila tentera Islam berada dalam keadaan yang agak genting, Ikrimah turun dari kudanya sambil mematahkan sarung pedangnya. Beliau kemudiannya merempuh jauh ke dalam barisan tentera Rom. Lantas Khalid al-Walid segera mendapatkan beliau seraya berkata: “Jangan lakukan wahai Ikrimah !. Kematian kamu adalah hentaman yang cukup berat kepada tentera Islam.” 

Namun Ikrimah membantahnya: “Tinggalkan saya wahai Khalid !. Kamu lebih dahulu bersama Rasulullah. Sedangkan saya dan ayah saya adalah orang yang paling keras menentang Rasulullah. Biarkan saya menebus kesalahan saya yang lalu. Sesungguhnya saya telah memerangi Rasulullah dalam banyak peperangan !. Adakah pada hari ini saya hendak lari daripada Rom ?!. Tidak !. Ini sekali-kali tidak akan boleh berlaku !.” Bentak beliau. 

Kemudian Ikrimah menjerit kepada tentera Islam: “Siapa yang mahu melakukan bai’ah untuk mati ?.” 

Lantas bapa saudaranya al-Harits bin Hisyam, Dhirar bin al-Azwar bersama 400 tentera Islam yang lain telah berbai’ah dengan beliau. Mereka kemudiannya berperang bermati-matian di hadapan markaz kepimpinan Khalid r.a. Mereka mempertahankannya dengan penuh kemuliaan dan pertahanan yang kental. 

Perginya Tiga Pahlawan Islam
Peperangan Yarmuk kemudiannya berakhir dengan kemenangan besar tentera Islam. Di celah-celah mayat yang bergelimpangan di medan tempur, kelihatan tiga orang pejuang sedang baring terlantar. Mereka masih bernyawa namun amat lemah dan tidak berdaya akibat luka parah yang dialami. Mereka ialah al-Harits bin Hisyam, ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah dan Ikrimah bin Abu Jahal. 

Al-Harits melaung meminta sedikit air untuk diminum. Apabila air hendak diberikan kepada beliau, terpandang olehnya Ikrimah yang sedang memerhatikannya. Lantas al-Harits mengarahkan air itu supaya diberikan kepada Ikrimah. Apabila mereka menghampiri Ikrimah, Ayyash pula menoleh kepadanya. Maka Ikrimah juga mengarahkan perkara yang sama agar diberikan air itu kepada Ayyash. Merka pun bergegas kepada Ayyasy. Namun Apabila mereka menghampirinya mereka mendapati beliau telah meninggal dunia. Belum sempat mereka memberinya minum. 

Justeru itu, mereka segera kembali mendapatkan dua sahabat yang kehausan tadi. Tetapi, mereka mendapati dua sahabat itu juga telah meninggal dunia. Semoga Allah meredhai mereka semua.

Post a Comment