Bilal bin Rabah

Abu Bakr ketua kita. Beliau telah memerdekakan ketua kita (Bilal). 
[Umar bin al-Khattab

Bilal dilahirkan di Sarot, ayahnya bernama Rabah manakala ibunya bernama Hamamah. Hamamah merupakan antara hamba wanita berkulit hitam di Mekah. Lantaran itulah, ada sesetengah orang memanggil Bilal dengan gelaran Ibnu Sauda’ (anak wanita hitam). Bilal dibesarkan di Mekah. Beliau dimiliki oleh beberapa orang anak yatim daripada Bani Abd ad-Dar. Ayah mereka telah mewasiatkan urusan tersebut kepada Umayyah bin Khalaf salah seorang pembesar Quraisy. 


Diseksa Oleh Kekasaran Dan Kekejaman Toghut.
Apabila cahaya agama baru terbit di Mekah. Bilal merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam. Penyeksaan yang dihadapi oleh Bilal bin Rabah dari pihak musyrikin tidak seperti penyeksaan yang dihadapi oleh sahabat lain. Beliau berhadapan dengan kekasaran dan kekejaman serta keras hati mereka. Namun beliau dan orang Islam lain yang tertindas tetap bersabar menghadapi tribulasi pada jalan Allah. 

Apabila matahari terik tegak membakar, pasir pijar dek kepanasan matahari. Quraisy menanggalkan pakaian orang Islam dan memakaikan mereka baju perisai besi dan dijerang di bawah kepanasan matahari. Tidak cukup sekadar itu, Quraisy mencambuk belakang mereka dengan cemeti. Mereka mendesak agar orang Islam menghina dan mencerca Muhammad. 

Apabila penyeksaan ke atas mereka terlalu getir dan mereka tidak mampu lagi untuk bertahan, mereka akur dengan kehendak Quraisy. Namun hati mereka tetap terpaut dengan Allah dan Rasul-Nya. Kecuali Bilal bin Rabah r.a. Beliau merasakan semua seksaan tersebut ringan lantaran beliau berada di jalan Allah. 

Umayyah bin Khalaf dan konco-konconyalah yang menjalankan seksaan ke atas Bilal bin Rabah. Mereka mencambut belakangnya dengan cemeti. Beliau berkata: “Yang Maha Esa, Yang Maha Esa.” Mereka menghimpitkan batu besar ke atas dada Bilal bin Rabah. Namun beliau tetap mengungkap: “Yang Maha Esa, Yang Maha Esa.” Mereka meningkatkan lagi seksaan sebagai pengajaran kepada orang lain. Beliau tetap melaungkan: “Yang Maha Esa, Yang Maha Esa…” 

Mereka memaksanya menyebut Latta dan Uzza. Namun sebaliknya beliau menyebut Allah dan Rasul-Nya. Lalu mereka mengherdik bengis: “Ikut sebagaimana yang kami katakana !..” Bilal bin Rabah menjawab: “Lidah saya tidak fasih menyebutnya.” Mereka terus menambah dan memperbagaikan bentuk seksaan ke atas beliau. 

Apabila si taghut, Umayyah bin Khalaf bosan untuk menyeksa Bilal bin Rabah. Dia menjerut leher beliau dengan tali dan menyerahkannya kepada si dungu dan kanak-kanak. Umayyah menyuruh mereka mengheret dan menyeret Bilal bin Rabah mengelilingu lorong-lorong Mekah. Namun Bilal bin Rabah r.a merasa suatu kerehatan rohani sekalipun menanggung seksaan tersebut. Beliau terus mengalunkan: “Yang Maha Esa, Yang Maha Esa…” 

Dibebaskan Oleh Abu Bakr as-Sidiq 
Abu Bakr as-Sidiq r.a menawarkan kepada Umayyah bin Khalaf untuk membeli Bilal bin Rabah. Lalu dia bertindak menaik harganya. Dia menyangka Abu Bakr akan membatalkan niatnya. Namun nyata sangkaannya melesat, Abu Bakr tetap membeli Bilal dengan harga Sembilan uqiah emas. Setelah selesai jual beli, Umayyah berkata kepada Abu Bakr as-Siddiq: 

“Jikalau kamu enggan membelinya kecuali dengan satu uqiah, saya akan tetap menjualnya.” Sindir Umayyah sambil mencebik benci. Abu Bakr membalas dengan tegas: “jika kamu enggan menjualnya kecuali dengan 100 uqiah, saya tetap akan membelinya.” 

Tatkala Allah mengizinkan Nabi-Nya s.a.w berhijrah ke Madinah, Bilal bin Rabah turut berhijrah ke Madinah bersama para sahabat yang lain. Beliau, Abu Bakr as-Siddiq dan Amir bin Fihr tinggal serumah. Suatu masa ketiga-tiga mereka demam. Apabila Bilal bin Rabah sembuh belliau mengangkat suaranya dan mengalunkan suara yang merdu, katanya: 

“Aduhai, andainya saya tahu apakah saya dapat bermalam suatu malam Di Fakh dan dikelilingi oleh pokok Izkhar dan jalil. Apakah suatu hari aku akan mendatangi air di Mijannah. Dan apakah jelas kepada saya Syamah dan Thofil.” 

Bilal bin Rabah sangat merindui Mekah. Terkenangkan lembah dan bukitnya. Di sanalah beliau mula merasai kemanisan iman. Di sanalah beliau dikurniakan rasa nikmat sekalipun diseksa lantaran mencari keredhaan Allah. Di sana jugalah beliau berjaya menewaskan hawa nafsunya dan syaitan ar-Rajiim. 

Menjadi Muazzin Rasulullah s.a.w
Tatkala Rasulullah s.a.w membina masjidnya di Madinah dan azan disyariatkan. Bilal bin Rabah merupakan muazin pertama dalam Islam. Setelah selesai melaungkan azan, beliau akan berdiri di hadapan pintu rumah Rasulullah s.a.w dan berkata: “Haiya ‘ala Solah, Haiya ‘ala Falah…” Apabila Baginda keluar dari billiknya dan Bilal melihat Baginda maju kehadapan, beliau pun memulakan iqamah. 

Najasyi Maharaja Habsyah menghadiahkan Rasulullah s.a.w tiga batang tombak pendek. Ia merupakan antara barangan diraja. Rasulullah s.a.w menyimpan satu. Baginda memberi sebatang kepada Ali bin Abi Thalib dan sebatang kepada Umar bin al-Khattab. 

Kemudian tombak pendek miliknya tersebut diberikan pula kepada Bilal bin Rabah. Pemberian istimewa tersebut sentiasa bersamanya sepanjang hayat beliau. Beliau membawanya ketika solat hari raya dan solat istisqa’. Beliau akan menegakkan tombak itu di hadapannya apabila menunaikan solat bukan di dalam masjid. 

Bilal turut serta bersama Nabi s.a.w dalam peperangan Badar. Beliau melihat dengan mata kepalanya sendiri Allah Taala menunaikan janji-Nya, memenangkan tentera-Nya. Bilal juga menyaksikan kematian para toghut iaitu Umayyah bin Khalaf serta abu Jahal yang pernah menyeksa ganas beliau serta umat islam yang lain. 

Apabila Rasulullah s.a.w masuk membuka kota Mekah dan mengetuai batalion raksasa tentera Islam, Bilal bin Rabah turut bersama Baginda s.a.w. Ketika Baginda s.a.w masuk ke dalam Ka’bah, hanya tiga orang sahabat yang turut bersama Baginda iaitu: “Utsman bin Thalhah pembawa kunci Ka’bah, Usamah bin Zaid dan Bilal bin Rabah. 

Tatkala tiba waktu solat Zuhur, ribuan manusia mengelilingi Rasulullah s.a.w. Orang-orang Quraisy yang memeluk Islam secara rela mahupun terpaksa menyaksikan perhimpunan besar itu. Ketika itu Rasulullah s.a.w memanggil Bilal bin Rabah dan memerintahkan beliau naik ke atas Ka’bah mengisytiharkan kalimah tauhid dari atas Ka’bah. Bilal bin Rabah terus menjadi muazzin Nabi s.a.w sepanjang hayat Baginda. 

Keesakan Bilal bin Rabah Ketika Azan
Apabila Rasulullah s.a.w wafat. Tiba waktu untuk solat. Bilal bin Rabah bangun malaungkan azan, apabila azannya sampai kepada: “Asyhadu anna Muhammad ar-Rasulullah”. Suaranya tidak keluar tersekat di kerongkong. Orang Islam tersedu-sedan menangis. Mereka tenggelam dalam esakan tangisan. Keadaan ini berlaku selama tiga hari, apabila sampai sahaja kepada: “Asyhadu anna Muhammad ar-Rasulullah”. Bilal bin Rabah dan yang lain turut menangis. 

Bilal bin Rabah memohon daripada Abu Bakr as-Siddiq, Khalifah Rasulullah s.a.w agar mengizinkannya tidak melaungkan azan lagi. Lantaran beliau tidak mampu setelah ketiadaan Baginda s.a.w. Dan meminta izin untuk keluar berjihad di Syam. 

Khalifah teragak-agak untuk memenuhi permintaan beliau dan mengizinkan beliau meninggalkan Madinah. Bilal bin Rabah pun meluahkan perasaannya kepada Khalifah: “Jika tuan membeli saya dahulu untuk diri tuan, maka halanglah saya. Namun jika tuan bebaskan saya kerana Allah, lepaskanlah saya kepada-Nya (berjihad).” 

Lantas Khalifah Abu Bakr menjawab: “Demi Allah, saya membeli kamu hanya kerana Allah. Saya membebaskan kamu hanya pada jalan-Nya.” 

Bilal bin Rabah berkata dengan tegas: “Sesungguhnya saya tidak akan melaungkan azan untuk sesiapa lagi selepas ketiadaan Rasulullah.” 

Abu Bakr mengakur: “Baiklah.” 

Bilal bin Rabah meninggalkan Madinah al-Munawwarah bersama rombongan pertama menuju ke Syam. Beliau tinggal di Daraya, hampir denga kota Damsyik. Suatu ketika Umar al-Khattab menemui Bilal bin Rabah setelah bertahun tidak bertemu. Umar terlalu merinduinya. Umar juga amat menghormatinya hinggakan apabila disebut nama Abu Bakr as-Siddiq beliau akan berkata: “Abu Bakr ketua kita. Beliau telah memerdekakan ketua kita (Bilal).” 

Para sahabat bertekad agar Bilal melaungkan azan di hadapan Khalifah al-Faruq Umar al-Khattab. Apabila sahaja Bilal melaungkan azan, Umar al-Khattab menangis, para sahabat yang lain turut menangis hingga janggut mereka dibasahi air mata. 

Perginya Seorang Muazzin Islam Yang Pertama.
Bilal bin Rabah terus menetap di Damsyik sehingga meninggal dunia. Ketika sakit tenat, isterinya meratap berkata: “Sedihnya.” Beliau membuka matanya dan berkata: “Gembiranya..” Tidak lama selepas itu beliau menghembuskan nafas yang terakhir dan mengungkap berkali-kali: 

“Esok saya akan bertemu dengan kekasih.. Muhammad dan para sahabatnya… Esok saya akan bertemu dengan kekasih.. Muhammad dan para sahabatnya… “

Post a Comment