Zaid bin Tsabit al-Ansori

Siapa yang memiliki qawafi sebaik Hassan dan anaknya ?. Siapa yang memiliki ilmu ma’ani sebaik Zaid bin Tsabit ?. [Hassan bin Tsabit

Kota Madinah ketika itu sesak dipenuhi orang ramai sebagai persediaan menghadapi peperangan Badar. Tampil ditengah-tengah kesesakan tersebut, seorang kanak-kanak yang belum pun berumur 13 tahun. Di tangannya terhunus pedang panjangnya lebih kurang sama dengan ketinggian badannya. Beliau menghampiri Rasulullah s.a.w lalu berkata: “Saya bersedia menjadi tebusanmu wahai Rasulullah. Izinkan saya bersama tuan dan berjihad menentang musuh Allah di bawah panji-panjimu.” 


Gagal Untuk Duduk Bersama Rasulullah s.a.w
Lantas Rasulullah s.a.w memandang gembira dan merasa kagum dengan semangat kanak-kanak tersebut. Baginda menepuk mesra bahu kanak-kanak tersebut . Baginda memuji semangatnya tetapi Baginda s.a.w terpaksa mengenepikannya lantaran usianya yang terlalu muda. Kanak-kanak tersebut pun pulang sugul sambil mengheret pedangnya. Beliau merasa amat sedih lantaran terhalang daripada memperolehi kemuliaan menemani Rasulullah s.a.w dalam peperangan pertama itu. 

Namun apabila kanak-kanak ini sedar dia gagal untuk duduk hampir dengan Rasulullah s.a.w dalam medan jihad lantaran usianya yang muda, dengan kecerdikannya dia cuba mencipta ruang dalam bidang lain yang tiada kaitan dengan usia muda iaitu dalam bidang keilmuan dan hafalan. 

Menjadi Jurutulis dan Penterjemah Rasulullah s.a.w
An-Nawar menceritakan keinginan anaknya kepada para pembesar kaumnya. Lalu mereka pun pergi bertemu Nabi s.a.w dan berkata: “Wahai Nabi Allah, ini anak kami bernama Zaid bin Tsabit. Beliau telah menghafal 17 surah al-Qur’an. Bacaannya tepat sebagaimana ia diturunkan kepada tuan. Beliau seorang kanak-kanak cerdik yang mampu membaca dan menullis. Anak ini ingin duduk hamper dan sentiasa bersama tuan. Dengarlah bacaannya jika tuan mahu. 

Lalu Rasulullah s.a.w yang mulia mendengar bacaan daripada hafalan Zaid bin Tsabit. Anak tersebut menyampaikan bacaan dengan baik, sebutannya jelas. Kalimah al-Qur’an dilafazkannya dengan baik. Setiap waqaf bacaannya menunjukkan kefahaman dan cerapan anak tersebut kepada ayat yang dibacanya. 

Rasulullah s.a.w amat gembira apabila mendapati kanak-kanak tersebut melebihi apa yang diceritakan mereka kepadanya. Baginda semakin girang lantaran anak tersebut mahir menulis. Lalu Nabi s.a.w berpaling kepadanya seraya berkata: “Wahai Zaid pelajarilah bahasa Yahudi (Ibrani) kerana saya tidak yakin apa yang saya katakan kepada mereka.” 

Baiklah wahai Rasulullah !.” Sahut Zaid bin Tsabit gembira dengan perintah Rasulullah s.a.w tersebut. Beliau segera tekun mempelajari bahasa Ibrani sehingga benar-benar mahir dengan bahasa tersebut dalam masa yang amat singkat. Zaid bin Tsabit menjadi jurutulis Rasulullah s.a.w apabila Baginda ingin menghantar perutusan kepada Yahudi. Beliau menjadi penterjemah kepada Nabi s.a.w apabila Yahudi menghantar surat kepada Baginda. Zaid bin Tsabit juga diperintahkan Rasulullah untuk mempelajari bahasa Suryani. 

Penulis Wahyu
Apabila Nabi s.a.w yakin bahawa Zaid bin Tsabit telah mahir, amanah, teliti dan faham, Baginda melibatkan beliau dalam urusan al-Qur’an. Lalu Nabi s.a.w melantiknya sebagai penulis wahyu. Oleh itu, Zaid bin Tsabit berpeluang bertalaqqi (mempelajari) al-Qur’an daripada Nabi s.a.w sedikit demi sedikit, masa demi masa. Maka beliau membesar dengan ayat-ayatNya. 

Pemuda bertuah ini menjadi pakar al-Qur’an. Beliau menjadi rujukan pertama tentang al-Qur’an kepada ummat Muhammad setelah kewafatan Baginda s.a.w. Beliau dilantik menjadi ketua pengumpulan al-Qur’an ketika zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakr as-Siddiq r.a. Zaid bin Tsabit juga berperanan utama dalam usaha menyatukan mushaf al-Qur’an ketika pemerintahan Utsman bin ‘Affan r.a. 

Perhimpunan Bani al-Saqifah
Ketika peristiwa di perhimpunan Bani al-Saqifah, umat Islam berselisih pandangan siapakah yang layak dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Baginda s.a.w. Kata golongan Muhajirin: “Khilafah Rasulullah s.a.w adalah daripada kalangan kami. Kamilah yang lebih utama.” 

Kata golongan Ansar: “Bahkan Khilafah adalah orang di kalangan kami. Kamilah yang lebih layak.” Segolongan yang lain pula berpandangan: “Khalifah hendaklah ilantik kami dan kamu. Sesungguhnya sebelum ini apabila Rasulullah melantik seseorang daripada kamu melaksanakan sesuatu tugas, Baginda turut melantik seseorang daripada kalangan kami.” 

Hampir tercetus perbalahan besar sedangkan jenazah Nabi s.a.w masih terbaring berselimut belum dikebumikan. Oleh itu ia memerlukan kata pemutus yang bijaksana dan disinari dengan hidayah al-Qur’an serta dapat memadamkan api perbalahan yang masih kecil. Pandangan yang menyinari jalan mereka yang sedang kebingungan. Kata-kata tersebut terpacul daripada mulut Zaid bin Tsabit. Lantas ketika itu beliau berpaling ke arah kaumnya lalu berucap: 

“Wahai orang Ansar. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w adalah daripada kalangan Muhajirin. Maka khalifahnya hendaklah daripada kalangan Muhajirin sepertinya. Manakala kita merupakan Ansar pendukung Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita hendaklah menjadi pendukung khalifahnya selepas kewafatan Baginda. Kita hendaklah menjadi pembantu khalifahnya dalam menegakkan kebenaran.” Kemudian beliau menghulurkan tangannya kepada Abu Bakr as-Siddiq r.a sambil berkata: “Inilah khalifah kamu semua. Berbai’ahlah dengan beliau.” 

Rujukan kepada Khulafa' dan Umat Islam.
Dengan fadilat al-Qur’an dan usahanya mendalami al-Qur’an serta sentiasa bersama Rasulullah s.a.w Zaid bin Tsabit menjadi menara arah petunjuk kepada umat Islam. Para khalifah sentiasa meminta pandangan beliau terhadap masalah-masalah yang sukar diselesaikan. Umat Islam juga sering meminta fatwanya dalam masalah yang mereka hadapi. Zaid menjadi tempat rujukan mereka terutamamya dalam masalah harta pusaka. Tiada sahabat semahir beliau tentang hukum harta pusaka dan pembahagiannya. 

‘Umar al-Khattab berucap di hadapan orang Islam pada hari al-Jabiyah: “Wahai manusia, sesiapa yang ingin bertanya tentang al-Qur’an, pergilah bertemu Zaid bin Tsabit. Sesiapa yang ingin bertanya tentang feqah, bertemulah dengan Mu’az bin Jabal. Sesiapa yang memerlukan harta, datanglah bertemu saya. Sesungguhnya Allah Taala melantik saya sebagai pengurus dan pengagih harta.” 

Tatkala Zaid bin Tsabit kembali bertemu Allah, umat Islam menangisi kematian ilmunya yang turut dikebumikan bersama-samanya. Kata Abu Hurairah: “Hari ini pendeta umat ini telah meninggal dunia. Mudah-mudahan Allah menjadikan ‘Abdullah bin Abbas sebagai penggantinya.” 

Penyair Baginda s.a.w, Hassan bin Tsabit mengungkapkan serangkap puisi selegi: “Siapa yang memiliki qawafi sebaik Hassan dan anaknya ?. Siapa yang memiliki ilmu ma’ani sebaik Zaid bin Tsabit ?.”

Post a Comment