Zaid bin Sahl an-Najjari (Abu Tholhah)

Abu Tholhah hidup berpuasa dan berjihad. Beliau meninggal dunia juga dalam keadaan berpuasa dan berjihad.

Zaid bin Sahl an-Najjari dikenali dengan Abu Tholhah. Manakala Rumaisho binti Milhan an-Najjariah dikenali dengan Ummu Sulaim. Rumaisho’ menjadi janda selepas kematian suaminya. Mendengarkan berita tersebut, Abu Tholhah tekad segera ingin meminang Ummu Sulaim. Abu Tholhah percaya bahawa Ummu Sulaim tidak akan mengenepikan pinangannya. Kerana beliau merupakan pahlawan Bani an-Najjar dan salah seorang pemanah Yatsrib yang terbilang.



Memeluk Islam
Dipertengahan jalan menuju ke rumah Ummu Sulaim, beliau teringat bahawa Ummu Sulaim telah beriman dengan Muhammad dan agamanya melalui seruan seorang penda’wah dari Mekah Mush’ab bin ‘Umair. Namun Abu Tholhah memujuk hatinya: “Apa salahnya ?. Bekas suaminya yang meninggal dunia masih dalam agama nenek moyangnya dan dia enggan mengikut Muhammad dan dakwah Muhammad !..”

Setibanya beliau dirumah Ummu Sulaim, beliau meminta izin masuk. Lalu Ummu Sulaim mengizinkannya. Anak Ummu Sulaim, Anas turut bersamanya. Tanpa berlengah Abu Tholhah pun menyatakan hasrat hatinya.

“Wahai Abu Tholhah, pinangan lelaki sepertimu pasti tidak akan ditolak. Namun saya sama sekali tidak akan mengahwini seorang lelaki kafir.” Jawab Ummu Sulaim.

Abu Tholhah menyangka Ummu Sulaim sengaja mengada-adakan alas an tersebut. Boleh jadi Ummu Sulaim telah terpikat dengan lelaki lain yang lebih berharta dan berpengaruh berbandingnya. Abu Tholhah tidak berputus asa lalu beliau bertanya lagi untuk kepastian: “Demi Allah, bukanlah perkara ini yang menjadi penghalang saya dan kamu wahai Ummu Sulaim.”

“Jadi, apa dia ?.” Tanya Ummu Sulaim.

“Emas dan Perak..” Jawab Abu Tholhah.

“Emas dan Perak ?..” Terkejut Ummu Sulaim dengan Abu Tholhah tersebut.

“Ya..” Jawab Abu Tholhah dengan tegas.

“Bukan sebab itu wahai Abu Tholhah. Sesungguhnya saya bersaksi denganmu dan saya bersaksi dengan Allah juga Rasul-Nya, jika kamu memeluk Islam saya rela kamu menjadi suami saya tanpa emas dan perak. Saya jadikan Islam kamu sebagai mahar untuk saya..”Jelas Ummu Sulaim kepada Abu Tholhah.

Apabila mendengar sahaja pengakuan Ummu Sulaim tersebut, berhala yang disembah daripada kayu yang bermutu terpapar dalam fikirannya. Melihat gerak-geri Abu Tholhah yang termangu-mangu itu, tanpa berlengah Ummu Sulaim merebut peluang mengajukan soalan: “Tidakkah kamu tahu wahai Abu Tholhah bahawa tuhan yang kamu sembah selain daripada Allah itu adalah pokok yang tumbuh dari tanah.”

“Bahkan saya tahu.” Jawab Abu Tholhah tunduk.

Ummu Sulaim terus mengajukan soalan: “Adakah kamu tidak malu menyembah sebatang kayu daripadasebatang pohon yang kamu jadikan tuhan, sedangkan sebahagian lagi dijadikan unggun api oleh orang lain. Kayu tersebut digunakan untuk berunggun atau membakar roti. Jika kamu memeluk Islam, saya rela menjadi isterimu. Saya tidak inginkan mahar lain selain mahar Islam.”

“Siapa yang boleh mengajar saya untuk memeluk Islam ?.” Tanya Abu Tholhah.

“Saya boleh ajarkan.” Jawab Ummu Sulaim gembira.

“Bagaimana ?.” Tanya Abu Tholhah lagi.

“Ucapkan kalimah syahadah: ‘asyhadu an la ilaha illa Allah, wa anna Muhammad ar-Rasul Allah.’ Kemudian kamu pulang ke rumah, musnah dan campakkan berhala milikmu.” Terang Ummu Sulain.

Jelas terlakar kegembiraan dan keceriaan Abu Tholhah. Beliau pun melaksanakan setiap perkara yang diajarkan Ummu Sulaim kepadanya. Dan mengahwininya. Orang-orang Islam memperkatakan perkahwinan Abu Tholhah dan Ummu Sulaim tersebut: “Kami tidak pernah dengar mahar yang lebih mulia daripada mahar Ummu Sulaim. Beliau menjadikan Islam sebagai mahar perkahwinannya.”


Kepahlawanan Zaid bin Sahl an-Najjari di Medan Uhud
Beliau dan isterinya merupakan antara 70 orang Ansar yang berbai’ah dengan Nabi s.a.w dalam Bai’ah Aqabah ke-2. Abu Tholhah juga antara 12 orang naqib (ketua) yang dilantik oleh Rasulullah s.a.w pada malam itu untuk orang Islam di Yatsrib. Beliau menyertai semua oeoerangan yang disertai Nabi s.a.w. Beliau menunjukkan kepahlawanan yang amat agung dan mulia. Namun peperangan yang paling agung bersama Nabi s.a.w ialah peperangan Uhud.

Ketika peperangan Uhud, Rasulullah s.a.w terdedah kepada serangan musuh. Tentera musyrikin menyerang Bagida dari segenap arah. Hinggakan gigi kacip Baginda patah, dahi dan bibirnya luka, darah mengalir menitis dari muka Baginda s.a.w . Hinggakan Quraisy menggembar-gemburkan bahawa Muhammad telah terbunuh. Tentera Islam semakin lemah mendengar khabar angin tersebut. Mereka mula mengalah untuk berhadapan dengan tentera kafir Quraisy. Ketika itu hanya sebilangan kecil yang masih bertahan bersama Rasulullah s.a.w dan yang terkehadapannya ialah Abu Tholhah.

Abu Tholhah berdiri tegak dihadapan Rasulullah s.a.w bagaikan gunung yang kukuh. Rasulullah s.a.w berdiri di belakang beliau. Abu Tholhah melindungi dan memerisai Baginda daripada terkena senjata musuh. Kemudian beliau meletakkan anak panah pada busarnya yang tidak akan tersasar. Beliau menjadikannya senjata mempertahankan Nabi s.a.w. Panahan demi panahan beliau lepaskan menepati sasaran.

Rasulullah s.a.w cuba menjenguk-jenguk dari belakang Abu Tholhah untuk melihat panahan beliau. Abu Tholhah mengarahkan agar Baginda tunduk, katanya: “Demi ibu-bapa saya, tuan jangan menjenguk ke arah mereka. Mereka akan mencederakan tuan. Tengkuk saya adalah galang-ganti tengkuk tuan. Dada saya adalah pelindung dada tuan. Saya menjadi penebus tuan.”

Salah seorang tentera Islam lalu di hadapan Raslullah s.a.w menyelamatkan diri. Dia turut membawa seberkas anak panah. Lalu Rasulullah berteriak ke arahnya: “Campakkan anak panahmu di hadapan Abu Tholhah, jangan lari bersama anak panah itu !.”

Abu Tholhah terus berjuang mempertahankan Nabi s.a.w hinggakan tiga batang busar panahnya patah. Beliau berjaya membunuh ramai tentera musyrikin. Akhirnya pertempuran reda dan Allah menyelamatkan serta melindungi Nabi dengan perlindungan-Nya.


Bersedekahkan Sebuah Kebun
Abu Tholhah merupakan seorang yang sanggup menyerahkan diri dan nyawanya pada jalan Allah meskipun ketika saat-saat kritikal. Beliau juga seorang yang amat pemurah untuk menyumbangkan hartanya. Beliau memiliki kebun-kebun kurma dan anggur. Tiada seorangpun di Madinah memiliki pokok sebesar pokok di kebunnya. Mahupun anak sungai sesedap air anak sungai di kebunnya.

Suatu hari Abu Tholhah menunaikan solat di bawah teduhan pokok-pokok di kebunnya. Beliau tertarik dengan seekor burung berkicau-kicauan. Bulunya berwarna hijau, paruhnya berwarna merah manakala sepasang kakinya bagaikan berinai. Ia terbang dari satu dahan ke satu dahan berkicau dan ‘menari-nari’. Abu Tholhah leka dan terpaku dengan apa yang dilihatnya. Beliau hanyut dengan pemandangan tersebut.

Kemudian Abu Tholhah tersedar daripada kelekaan tersebut. Namun beliau terlupa berapa rakaat sembahyang telah beliau tunaikan. Dua rakaan ?, tiga rakaat ?, beliau tidak pasti. Apabila selesai menunaikan solat tersebut, beliau terus bersiap pergi bertemu Rasulullah s.a.w. Beliau ingin mengadu tentang dirinya yang leka ketika menunaikan solat. Dilekakan dengan kebun, pokok-pokok rimbun dan kicauan burung.

Abu Tholhah berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Saya bersaksi wahai Rasulullah bahawa saya sedekahkan kebun saya ini untuk Allah. Gunakanlah untuk perkara yang disukai Allah dan Rasul-Nya.

Selepas kewafatan Nabi s.a.w, selama 30 tahun beliau berpuasa sepanjang tahun kecuali pada hari raya dan hari yang diharamkan berpuasa. Usia beliau panjang hingga menjadi tua lanjut. Namun usia tuanya tidak menghalangnya untuk terus berjihad pada jalan Allah.

Syahid di Atas Sebuah Kapal Perang
Ketika tentera Islam bersedia untuk berperang di laut ketika pemerintahan Khalifah ‘Utsman bin al-Affan, Abu Tholhah turut mempersiapkan dirinya untuk keluar berjihad bersama tentera Islam. Anak-anaknya menasihatkan beliau: “Mudah-mudahan Allah merahmati ayahanda. Ayahanda telah tua dan telah menyertai siri peperangan bersama Rasulullah s.a.w Abu Bakr dan ‘Umar. Ayahnada sepatutnya berehat. Biar kami sahaja yang berjihad untuk ayahanda.”

Jawab si ayah tegas: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa jalla berfirman:

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab)~ At-Taubah: 41

Sesungguhnya seruan perang-Nya ditujukan kepada semua. Tua dan muda. Tiada batasan umur.” Beliau tetap ingin turut serta dalam peperangan tersebut.

Ketika Abu Tholhah berada di atas kapal bersama-sama tentera Islam di tengah-tengah laut, beliau jatuh sakit tenat. Akhirnya beliau meninggal dunia di atas kapal perang tersebut. Tentera Islam berusaha mencari pulau untuk mengkebumikannya. Namun mereka hanya menemui pulau setelah belayar selama tujuh hari. Jenazah Abu Tholhah berselimut dan tidak berubah apa-apa. Beliau bagaikan tidur.

Di tengah-tengah laut. Jauh daripada keluarga dan tanahair. Jauh daripada anak isteri dan rumah. Di situlah Abu Tholhah dikebumikan. Tiada apa yang memudaratkannya meskipun jauh daripada orang yang dikenali. Selagi mana dia hampir dengan Allah ‘Azza wa jalla..

Post a Comment