Sa’ad bin Abi Waqas

Panahlah wahai Sa’ad, panahlah. Allah menebus kamu dengan ayah dan ibuku 
[Muhammad s.a.w]

Ketika cahaya kenabian terbit menyinari kota Mekah, Sa’ad bin Abi Waqas masih di usia muda remaja. Beliau memiliki jiwa yang lembut. Sa’ad banyak berbakti dan amat mengasihi kedua ibu-bapa terutama ibunya. Meskipun umurnya mencapai 17 tahun, beliau memiliki kematangan dan kebijaksanaan orang dewasa dan berpengalaman. Tidak sebagaimana mereka seusianya yang sibuk dengan berbagai keseronokan, Sa’ad bin Abi Waqas giat memahirkan dirinya dengan penyediaan dan membaiki panah.


Sa’ad bin Abi Waqas sering berkata: “Saya hanya menunggu tujuh hari untuk memeluk Islam apabila dakwah bermula. Saya merupakan orang yang ketiga atau keempat yang memeluk Islam.”

Rasulullah s.a.w amat gembira dengan keislaman Sa’ad. Lantaran beliau memiliki ciri-ciri kepintaran, kejantanan dan dilahirkan dari keturunan yang mulia dan luhur terhormat. Beliau juga merupakan bapa saudara sebelah bonda Rasulullah s.a.w. Sa’ad bin Abi Waqas berketurunan Bani Zuhrah dan ia merupakan keluarga kepada Aminah bin Wahb, Ibu kepada Nabi s.a.w.

Diriwayatkan Bahawa Nabi s.a.w duduk bersama-sama para sahabatnya. Beginda melihat Sa’ad bin Abi Waqas datang, lalu Baginda memberitahu: “Ini merupakan bapa saudara saya (sebelah ibu). Maka tunjukkanlah kepada saya siapa bapa saudara (sebelah ibu)nya ..”

Namun keislaman Sa’ad bin Abi Waqas bukanlah mudah. Pemuda mukmin ini terpaksa berhadapan dengan tribulasi keras dan berat. Lantaran terlalu getir tribulasi, Allah Taala menurunkan ayat al-Qur’an mengenai perkara tersebut dalam surah Luqman: 14-15.

Cerita Sa’ad bin Abi Waqas:

Keislaman Sa’ad bin Abi Waqas
“Tiga malam sebelum saya memeluk Islam, saya bermimpi saya lemas dalam kegelapan yang teramat sangat. Ketika terkapai-kapai dalam gelombang kepekatan, tiba-tiba cahaya bulan menyinari saya. Lalu saya mengikuti cahaya tersebut. Saya lihat sekumpulan manusia di hadapan saya telah mendahului saya menuju ke arah bulan tersebut.

Saya melihat Zaid bin Haritsah, Ali bin Abi Tholib serta Abu Bakr as-Siddiq. Lalu saya bertanyakan kepada mereka: “Sejak bila kamu semua berada di sini ?.”

Jawab mereka: “Baru sekejap.”

Apabila siang menjelang, saya mendapat berita bahwa Rasulullah s.a.w menyeru manusia kepada Islam secara sembunyi. Saya tahu bahawa Allah menginginkan kebaikan untuk saya. Dia ingin mengeluarkan saya daripada kegelapan kepada cahaya dengan bantuan Baginda s.a.w. Tanpa berlengah lagi saya segera mencari Baginda s.a.w. Akhirnya saya bertemu Baginda di lorong Jiyad, sebuah lorong bukit di Mekah. Ketika itu Nabi s.a.w selesai mendirikan solat Asar. Lalu saya memeluk Islam. Tiada yang mendahului saya kecuali mereka yang saya lihat dalam mimpi sebelum ini.

Apabila bonda saya mengetahui keislaman saya, beliau amat marah. Saya sememangnya sentiasa berbakti dan amat menyayanginya. Beliau datang bertemu saya lalu berkata: “Wahai Sa’ad, agama apa yang kamu anuti ini sehingga kamu meninggalkan agama ibu bapamu ?. Demi Allah, tinggalkanlah agama barumu ini, atau bonda tidak akan makan dan minum sehingga mati. Hatimu akan hancur luluh dan sedih dengan apa yang berlaku ke atas bonda. Penyesalan akan memakan dirimu disebabkan tindakanmu itu. Orang ramai akan terus mencela kamu sepanjang hayatmu.”

“Jangan bonda bertindak sedemikian. Saya tidak akan meninggalkan agama saya walau apa jua alasannya.” Tegas Sa’ad bin Abi Waqas kepa ibunya berbaur rayuan.

Namun ibu tetap dengan ugutannya. Beliau enggan makan dan minum. Sehingga beberapa hari ibu tidak menjamah secubit makanan dan setitis air. Badannya menjadi kurus, bongkok dan lemah longlai. Saya datang menziarahinya masa demi masa memujuknya agar menjamah sedikit makanan atau minuman. Namun beliau tetap enggan walaupun berkali-kali dipujuk. Malahan beliau terus bersumpah tidak sekali-kali akan makan dan minum sehingga mati atau saya meninggalkan agama saya.

Apabila saya mendengar ketegaran pendiriannya walaupun berkali-kali dipujuk, saya nyatakan kepadanya: “Wahai bonda, saya amat menyayangi bonda. Namun cinta saya kepada Allah dan Rasul-Nya lebih lagi berbanding sayang saya kepada bonda. Demi Allah jika bonda memiliki 1,000 nyawa dan ia keluar satu demi satu, saya tetap tidak akan meninggalkan agama ini.”

Melihat kepada kesungguhan saya, ibu pun mengalah. Beliau akur dalam keterpaksaan untuk menjamah makanan dan minuman. Lalu Allah Ta’ala menurunkan firman-Nya tentang kisah ini:

“Dan Jika keduanya mendesakmu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” Luqman: 15

Kepahlawanan Sa’ad bin Abi Waqas Bersama Adiknya
Ketika peperangan Badar, Sa’ad dan adik beliau Umair menampilkan perjuangan yang terbilang. Walaupun ketika itu Umair masih lagi kanak-kanak yang baru meningkat dewasa. Tatkala Rasulullah s.a.w memeriksa barisan tentera Islam sebelum berlakunya pertempuran, Umair menyembunyikan dirinya di belakang tentera dewasa agar Rasulullah tidak melihatnya. Beliau bimbang akan dikecualikan lantaran faktor usianya. Namun Rasulullah terpandang ke arah Umair lalu mengecualikannya. Umair menangis kerana ingin turut serta. Akhirnya hati Rasulullah s.a.w lembut dan membenarkannya.

Ketika itu Sa’ad bin Abi Waqas mara ke hadapan dan merasa gembira. Beliau menyelempangkan tali pedang di leher Umair lantaran beliau masih kecil. Setelah itu kedua beradik berjihad dengan penuh bersungguh-sungguh di jalan Allah. Apabila pertempuran tamat, Sa’ad bin Abi Waqas kembali ke Madinah sendirian. Manakala Umair telah syahid di bumi Badar. Sa’ad mengharapkan semoga Allah mengganjari pahala kepada adiknya itu.


Sa’ad bin Abi Waqas Dipuji Rasulullah Atas Keberanian Beliau di Medan Uhud
Dalam peperangan Uhud, tentera Muslim goyah dan barisan tentera Islam berpecah meninggalkan Nabi s.a.w sehingga hanya segelintir masih bersama Baginda s.a.w. Bilangannya tidak sampai pun sepuluh orang. Ketika itu Sa’ad bin Abi Waqas tidak berganjak mempertahan Rasulullah s.a.w dengan busar panahnya. Setiap kali beliau memanah, setiap kali itu jugalah panahannya tepat dan membunuh tentera musyrikin.

Apabila Rasulullah s.a.w melihat panahan Sa’ad bin Abi Waqas, Baginda terus menyemarakkan semangat Sa’ad: “Panahlah wahai Sa’ad, panahlah. Allah menebus kamu dengan ayah dan ibuku.”

Sepanjang hayatnya Sa’ad bin Abi Waqas terus berbangga dengan kata-katanya: “Tiada seorang yang Rasulullah sebutkan untuknya kedua-dua ibu bapa Baginda melainkan kepada saya, iaitu ketika Baginda menebus diriku dengan ibu-bapanya.”


Menjadi Panglima Menyerang Tentera Parsi
Umar telah menghantar perutusannya kepada para gabenor dan pegawainya di seluruh pelusuk Negara.: “Hantarkan kepada saya, mereka yang mempunyai kelengkapan persenjataan dan kuda, mereka yang mampu menyelamat dan mereka yang berpandangan bernas, atau mempunyai keistimewaan berpuisi atau pidato atau keperluan lain yang boleh membantu dalam pertempuran.”

Setelah perutusan itu sampai, berduyun-duyun para pejuang sampai ke Madinah dari segenap pelusuk Negara Islam. Apabila semua persiapan rapi telah sempurna, Khalifah ‘Umar bermesyuarat dengan anggota al-Halli wa al-Aqdi (Majlis Syura) tentang siapa yang layak dipilih memimpin pasukan tentera yang besar ini. Jawab mereka serentak: “Sa’ad bin Abi Waqas !.” Lalu Khalifah memanggil Sa’ad bin Abi Waqas dan menyerahkan panji-panji tentera Islam kepada beliau.

Sa’ad bin Abi Waqas dan tenteranya telah bertempur dengan tentera Parsi di al-Qadisiah. Ketika hari al-Harir tentera Islam tekad untuk menumpaskan tentera Parsi. Mereka mengepung musuh seumpama ikatan yang melilit pergelangan tangan. Mereka merempuh ke dalam barisan musuh dari segenap penjuru dengan laungan ‘La ilaha illa Allah !.’ dan ‘Allahu Akbar !.’

Ketika itu kepala Rustum, Panglima Tentera Parsi dijulang dengan tombak tentera Islam. Rasa gementar dan panik menyelinap masuk ke dalam hati tentera musuh. Hinggakan apabila tentera Islam menunjuk ke arah tentera Parsi, dia datang menyerah diri untuk dibunuh. Ada juga yang dibunuh dengan senjata mereka sendiri. Tentera Islam memperolehi limpahan harta rampasan perang.

Sa’ad bin Abi Waqas telah dipanjangkan usia dan dikurniakannya harta yang banyak. Namun ketika hampir meninggal dunia, beliau meminta sehelai pakaian bulu yang lusuh. Katanya:

“Kafankan saya dengan pakaian ini. Kerana saya telah memakainya ketika bertempur dengan musyrikin ketika peperaangan Badar. Oleh itu saya juga ingin bertemu dengan Allah ‘Azza wa jalla dengan pakaian tersebut.”

Post a Comment