Al-Hassan bin Yasar (Hassan al-Basri)

“Tidak mungkin manusia boleh sesat jika ada orang seperti al-Hassan al-Basri bersama mereka.” [Maslamah bin Abdul Malik

Al-Hassan bin Yasar (al-Hassan al-Basri) membesar di sebuah rumah Rasulullah s.a.w dan dididik di rumah salah seorang isteri Nabi s.a.w, Ummu Salamah. Al-Hassan membesar dalam suasana yang penuh dengan haruman dan sinaran nubuwwah. Beliau berpeluang menikmati keindahan yang mewarnai rumah-rumah Ummu Mukminin ini. 


Kehudupan bersama Sahabat Rasulullah
Al-Hassan juga turut berpeluang menerima didikan para sahabat di masjid Rasulullah s.a.w. Beliau berkesempatan menerima hadis daripada Othman bin Affan, Ali bin Abi Tholib, Abu Musa al-‘Ash’ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan ramai lagi. Al-Hassan begitu tertarik dengan Amirul Mukminin, Ali bin Abi Tholib r.a atas sebab melihat kekuatan pegangan Ali kepada agamanya. Beliau tertarik dengan kesempurnaan ibadat dan kezuhudannya dalam menjauhi segala kesenangan dunia. Beliau turut tertarik dengan kepetahan, kebijaksanaan, kefasihan dan tunjuk ajarnya yang mampu menyentuh hati manusia. Oleh kerana itu, al-Hassan cuba mencontohi segala akhlaq, kefasihan, kepetahan, ketaqwaan dan ibadah Ali bin Abu Tholib. 

Berhijrah ke Basrah
Apabila al-Hassan berusia 14 tahun, beliau mengikut ayahnya berpindah ke Basrah. Beliau menetap disana bersama keluarganya. Di sinilah al-Hassan mula digelar sebagai al-Hassan al-Basri. 

Al-Hassan sering berkunjung ke masjid. Beliau akan turut bersama dalam majlis ilmu Abdullah bin Abbas. Beliau mempelajari tafsir, hadis dan qiraat daripadanya. Selain Abdullah bin Abbas, al-Hassan juga turut mendalami ilmu daripada para sahabat yang lain dalam ilmu fiqah, bahasa, sastera dan sebagainya. Sehinggalah akhirnya al-Hassan menjadi seorang ilmuan dalam segala bidang dan seorang yang fakih yang dipercayai. Masyarakat sentiasa mencari beliau untuk mendalami segala ilmunya. Masyarakat juga turut menerima dan menghayati segala nasihatnya yang mampu membuka fikiran mereka. Kemasyhuran al-Hassan tersebar ke merata-rata tempat. Namanya menjadi sebutan oleh sesiapa sahaja. Malah, para Khalifah dan para Pembesar tertanya-tanya dan tercari-cari berita mengenainya. 

Keperibadian Al-Hassan bin Yasar (al-Hassan al-Basri)
Khalid bin Safwan menceritakan: 
“Suatu ketika saya bertemu Maslamah bin Abdul Malik di Herat. Katanya: ‘Wahai Khalid, ceritakan kepada saya tentang al-Hassan al-Basri. Saya rasa engkau lebih mengenalinya daripada orang lain.’ 

Saya pun menjawab: ‘Memang benar, saya adalah orang yang paling arif untuk menceritakannya kerana saya adalah jirannya. Saya juga sering bersamanya. Saya adalah penduduk Basrah yang paling mengenalinya.’ 

‘Ceritakanlah apa yang engkau tahu.’ Desak Maslamah lagi. 

‘Al-Hassan adalah seorang yang sama dalaman dan luarannya. Setiap yang diucapnya pasti selari dengan perbuatannya. Apabila beliau mengajak manusia melakukan kebaikan, beliau adalah orang yang pertama melakukannya. Apabila beliau melarang manusia melakukan kejahatan, beliau adalah orang pertama meninggalkannya. Saya lihat beliau adalah seorang yang tidak mengharapkan bantuan manusia. Beliau seorang yang zuhud dan menjauhi daripada mengambil segala yang ada di tangan manusia lain. Namun saya melihat manusia amat mengharapkannya dan sentiasa meminta apa yang ada padanya.” 

Maslamah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju seraya berkata: “Cukuplah Khalid, cukuplah. Tidak mungkin manusia boleh sesat jika ada orang seperti ini bersama mereka !.” 

Antara Al-Hassan bin Yasar dan al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi
Apabila al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi dilantik sebagai pemerintah Iraq dan bertindak zalim serta kejam di wilayah pemerintahannya, al-Hassan adalah di antara segelintir manusia yang menentang dan menegur kekejaman serta keburukannya. Sebagai contoh, suatu ketika al-Hajjaj membina sebuah bangunan miliknya di Wasit. Apabila binaannya mulai siap, al-Hajjaj menjemput orang ramai untuk melihat dan mendoakan keberkatannya. 

Al-Hassan tidak mahu kesempatan orang ramai berkumpul ini dilepaskan begitu sahaja. Beliau berhasrat untuk memberikan mereka nasihat. Baliau mahu mengingatkan mereka supaya bersederhanalah dengan kesenangan dunia serta menggalakkan mereka mengejar ganjaran Allah s.w.t. 

Melihatkan orang ramai mengelilingi istana serta berasa kagum dengan hasil keindahan binaannya, al-Hassan berucap: “Kita pernah melihat bangunan yang dibina oleh manusia yang paling keji di dunia. Kita dapati Fir’aun telah membina bangunan yang lebih besar dan tinggi. Namun akhirnya Allah binasakan Fir’aun dan semua bangunan yang dibinanya. Mudah-mudahan al-Hajjaj mengetahui penghuni langit amat memurkainya dan penghuni bumi sedang memperdayanya.” 

Al-Hassan terus menyampaikan ucapannya dengan nada yang sedemikian rupa. Ada dikalangan pendengar yang bimbang dengan tindakan jahat al-Hajjaj berkata kepadanya: “Cukuplah wahai Abu Said, cukuplah.” 

Namun al-Hassan membalas: “Sesungguhnya Allah telah membuat perjanjian dengan mereka yang berilmu supaya mereka menyampaikan ilmu mereka kepada seluruh manusia.” 

Pada hari berikutnya al-Hajjaj masuk ke balai dengan perasaan yang amat marah. Dia berkata kepada ahli majlisnya: “Celaka kamu !. Seorang hamba penduduk Basrah ini telah mencerca saya tetapi tiada siapa dikalangan kamu yang membalas dan menafikannya !. Demi Allah, saya akan hidangkan darahnya kepada kamu, wahai pengecut !.” 

Al-Hajjaj pun memerintahkan supaya seorang pengiringnya mengambil pedang dan alas. Dia kemudiannya memerintahkan pemenggal supaya hadir. Pemenggal pun datang berdiri dihadapannya. Setelah itu, dia mengarahkan beberapa orang pengawalnya supaya membawa al-Hassan ke hadapannya. 

Tidak lama kemudian, al-Hassan pun dibawa menghadap. Semua yang ada disitu merenung ke arahnya. Semuanya ketakutan. Apabila al-Hassan melihat pedang, alas dan pemenggal di hadapannya, bibirnya pun kelihatan terkumat-kamit. 

Al-Hassan kemudiannya menghadap al-Hajjaj dengan rasa penuh kewibawaan seorang mukmin. Dia menunjukkan kehebatan seorang muslim dan ketulusan seorang pendakwah. Melihat keadaan itu, al-Hajjaj berasa gementar. Dia berkata: “Wahai Abu said, silakan ke sini. Silakan ke sini.” 

Orang ramai tercengang penuh kehairanan. Al-Hassan depersilakan duduk, al-Hajjaj menghadapnya sambil bertanya beberapa masaalah agama. Al-Hassan menjawab segala pertanyaan itu dengan penuh tabah juga disertakan huraian ilmu yang amat mendalam. Al-Hajjaj berkata: “Abu Said, engkau adalah pemimpin ulama’.” 

Al-Hajjaj kemudiannya meminta pengawalnya mengambil minyak wangi untuk dihadiahkan kepada al-Hassan. Setelah al-Hassan keluar, seorang pengawal al-Hajjaj mengekorinya dan berkata: “Wahai Abu Said, al-Hajjaj sebenarnya memanggil tuan atas sebab yang lain daripada apa yang dilakukannya sebentar tadi. Saya lihat ketika tuan menghadap al-Hajjaj dan melihat pedang serta alas tadi, bibir tuan berkumat-kamit, apakah yang tuan ucapkan ?. 

Al-Hassan menjawab: “Saya sebenarnya berdoa: Wahai Tuhanku yang memberikan nikmat dan menjadi tempat aku berlindung ketika menghadapi malapetakaku, jadikanlah kejahatannya itu sejuk dan selamat untukku seperti mana Engkau jadikan api itu sejuk dan selamat untuk Ibrahim.” 

Kehendak Khalifah atau Kehendak Allah Lebih Kau Dahulukan ?
Suatu ketika pernah diceritakan, setelah khalifah Umar Abdul Aziz kembali menemui Tuhannya. Tampuk khalifah diserahkan kepada Yazid bin Abdul Malik. Yazid telah melantik Umar bin Hubairah al-Fazari sebagai pemerintah di Iraq. Wilayah pemerintahan Umar kemudian diperluaskan lagi hingga merangkumi Khurasan. 

Corak pemerintahan Yazid jauh berbeza dengan khalifah sebelumnya. Yazid seringkali mengutus surat demi surat kepada Umar Hubairah. Dia memerintahkan Umar melaksanakan segala kandungan surat tersebut walaupun ia bertentangan sama sekali dengan kebenaran. Maka Umar memanggil al-Hassan al-Basri dan Amir bin Shurahabil (al-Sha’bi) untuk menghadapnya. 

Setelah mereka datang menghadapnya, Umar berkata: “Amirul Mukminin, Yazid bin Abdul Malik telah dilantik sebagai khalifah Allah untuk memimpin hamba-hamba-Nya. Dan mentaatinya adalah wajib. Sepertimana yang tuan-tuan tahu, saya telah dilantik untuk memerintah Iraq dan kemudian diberikan pula kuasa untuk mentadbir seluruh Parsi. Ada kalanya Yazid mengutuskan surat kepada saya memerintahkan saya untuk melakukan sesuatu yang saya tidak setuju keadilannya. Apakah pada pandangan tuan-tuan jika saya menuruti perintah-perintah ini, adakah saya telah melanggar hukum agama ini ?.” 

Lantas al-Sha’bi memberikan jawapan yang bersesuaian dengan kehendak khalifah dan sesuai dengan kehendak gabenor. Namun al-Hassan berdiam diri. Umar bin Hubairah pun mengalihkan pandangannya kepada al-Hassan dan berkata: “Apakah pandanganmu pula wahai Abu Said ?.” 

Al-Hassan dengan penuh keyakinan memulakan bicaranya: “Wahai Ibnu Hubairah, takutilah Allah dalam melaksanakan perintah Yazid. Janganlah kamu takuti Yazid dalam melaksanakan perintah Allah. Sedarlah bahawa Allah akan melindungimu daripada tindakan Yazid. Namun Yazid tidak akan mampu melindungimu daripada tindakan Allah. 

Wahai Ibnu Hubairah, engkau akan didatangi oleh malaikat yang bengis dan ganas yang tidak akan melanggar segala perintah Allah. Malaikat ini akan mengasingkan engkau dari katilmu. Dia akan memindahkan engkau daripada istana yang luas kepada kubur yang sempit. Di sana nanti tiada lagi Yazid. Apa yang ada hanyalah amalan yang engkau lakukan terhadap Tuhan Yazid. 

Wahai Ibnu Hubairah, jika engkau tabah bersama Allah dan tabah mentaati-Nya, engkau akan terpelihara daripada kejahatan Yazid bin Abdul Malik di dunia dan diakhirat. Jika engkau bersama-sama Yazid melanggar perintah Allah, nescaya Allah akan membiarkan engkau bersendirian menghadapi kejahatan Yazid. Sedarlah wahai Ibnu Hubairah, kita tidak boleh mentaati sesiapapun semata-mata untuk melanggar perintah Allah Taala.” 

Umar bin Hubairah yang asyik mendengar kata-kata al-Hassan menangis teresak-esak sehingga air mata mengalir membasahi janggutnya. Umar bin Hubairah pun mengalihkan pandangannya daripada al-Sha’bi kepada al-Hassan. Dia mengucapkan sanjungan dan hormatnya kepada al-Hassan. 

Antara Nasihat Hassan al-Basri
Al-Hassan al-Basri hidup selama 80 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau berjaya mengisi dunia ini dengan limpahan ilmunya, hikmahnya dan ilmu fiqahnya. Warisan yang ditinggalkan untuk generasi akan seterusnya ialah kata-kata nasihatnya yang begitu menyentuh hati hingga ke hari ini. Antaranya nasihat yang diberikan kepada seorang yang bertanya mengenai dunia ini: 

“Engkau bertanya tentang dunia dan akhirat. Dunia dengan akhirat ini ibarat timur dengan barat. Setiap kali engkau cuba menghampiri ke satu arah, engkau akan menjauhi arah yang satu lagi. Engkau meminta saya supaya memberikan gambaran tentang dunia ini. Bagaimana mungkin saya dapat gambarkan tentang satu dunia yang bermula dengan kepayahan dan berakhirnya dengan kehancuran. Perkara yang dihalalkan disini akan dihitung jika kita mengerjakannya. Manakala perkara yang diharamkan pula akan menyebabkan kita diazab. Orang yang tidak mencari kesenangannya akan diuji. Orang yang mencari kesenangannya pula akan menyesal.” 

Ketika seorang bertanya tentang dirinya dan manusia-manusia lain, jawab al-Hassan: “Celakalah kita !. Apakah yang telah kita lakukan dengan diri kita sendiri. Kita telah kuruskan agama kita, sebaliknya kita gemukkan dunia kita. Kita tidak pernah memperbaharui akhlaq, sebaliknya kita senantiasa memperbaharui kain dan pakaian kita. Kita masih mampu tidur walaupun kita makan dengan wang yang haram. Makanan yang kita makan, kita rampas daripada orang lain. Layanan yang kita terima kita minta secara paksa. Makanan kita bertukar ganti daripada manis kepada masam, panas kepada sejuk, kering kepada basa. Apabila sendawa kekenyangan kita akan berkata: ‘Hai budak, bawakan ke sini pencuci mulut buat menghadam makanan.’ 

Alangkah bodohnya, apa yang hadam sebenarnya ialah agamamu. Dimanakah jiranmu yang memerlukan bantuanmu ?. Dimanakah anak yatim yang sedang kelaparan ?. Dimanakah orang miskin yang sentiasa memerhatikanmu ?. Dimanakah amanah Allah kepadamu ?. Mudah-Mudahan engkau sedar bahawa engkau sekadar menghitung hari. Setiap kali matahari terbenam bermakna satu hari telah hilang daripada kiraanmu. Itu juga bermakna sebahagian hidupmu juga turut hilang.” 

Gempar Seluruh Bumi Basrah
Pada malam Jumaat di awal bulan Rejab tahun ke 110, al-Hassan al-Basri menyahut panggilan Tuhannya. Sesudah subuh apabila orang ramai menerima khabar kematiannya, gempar seluruh bumi basrah. Jenazahnya dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan selepas solat Jumaat di masjid yang menjadi tempat beliau menghabiskan usianya belajar dan mengajar serta mengajak manusia menuju Allah. 

Selepas itu, seluruh penduduk Basrah mengiringi jenazahnya. Malahan pada hari itu solat Asar berjemaah tidak didirikan di Masjid Basrah kerana tiada seorangpun yang masih tinggal untuk mendirikannya. Tidak pernah berlaku dalam sejarah semenjak Masjid Basrah dibina, solat berjemaah tidak didirikan di situ kecuali pada hari itu. Pada hari ketika al-Hassan al-Basri pergi menemui Tuhannya.

Post a Comment