Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor

Ustaz Fadzil Noor 1937-2002
::Dari Gudang Ilmu ke Kancah Siasah::

Dengan merdekanya Tanah Melayupada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor. 


Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau ‘ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah. 

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhun menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih. 

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergelutan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semenjak bangku sekolah menengah lagi. 

Latar Belakang Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor 
Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Dilahirkan pada 13mac1937 di Kg Seberang Pumpung. Beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Takdir Ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibu-bapa yang tercinta sedari kecil lagi. 

Ustaz Fadzil mula mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star daripada tahun 1946 hingga 1949. Kemudian beliau menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir dengan mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syari’ah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. 

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Setelah berkahwin, isterinya menemani almarhum belajar di al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukkan belajar dan berjuang telah berjaya membuahkan kurniaan lapan orang cahaya mata.

Perkhidmatan Ustaz Fadzil 
Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Alor Merah dan Parliman Kuala Kedah. Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil memfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan beliau menang. Pihak pentadbiran UTM telah diarah mahkamah untuk membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS. 

Al-Marhum Ustaz Fadzil juga sentiasa aktif dan bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial ini. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Negeri Kedah pada tahun 1973 hingga 1974. Beliau juga pernah memangku jawatan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan dibawah ISA. 

Sepanjang penglibatan beliau dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah pada tahun 1974. Ustaz Fadzil juga merupakan setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974. 

Penglibatan Dalam Politik 
Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan bertanding di negeri lain. Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa pada tahun 1981 sehingga 1983. 

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh akri PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Allahyarham pernah mendapat kejayaan yang sangat manis buat PAS dengan memenangi undian sebanyak 22,413 undi berbanding Othman yang hanya memperoleh 19,474 undi. 

Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim ini dimansuhkan. Akta yang tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4,000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, al-Marhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka. 

Allahyarham Ustaz Fadzil telah menghembuskan nafas terakhirnya untuk kembali menghadap yang Maha Pencipta, Allah s.w.t kira-kira jam 10:30 am tanggal 23jun2002. Berbondong-bondong manusia menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqim bandar Tun Razak. Malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muassasah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah.

Post a Comment