Zainul Abidin Ali Bin Al-Husain Bin Ali

Tidak pernah saya melihat orang Quraisy yang sungguh baik seperti Ali bin al-Husain. 
[Al-Zuhri]

Ali Bin Al-Husain Bin Ali membesar di Masjid Nabawi al-Sharif. Ketika itu, masjid an-Nabawi masih dipenuhi para sahabat Rasulullah s.a.w yang masih hidup dan juga generasi awal para tabi’in. Beliau menerima didikan agama yang sempurna dari sebesar-besar kalam Allah hinggalah segala maksud dan kehendak hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Kisah-kisah peperangan dan perjalanan hidup Rasulullah juga turut diceritakan mereka kepada Ali bin al-Husain.


Usianya semakin meningkat dewasa seiring dengan ilmunya. Ini bermakna penduduk Madinah kini memiliki seorang anak muda Bani Hasyim yang paling kuat ibadah dan taqwanya. Anak muda yang paling tinggi akhlaq dan peribadinya. Anak muda yang paling pemurah dan berhati mulia. Anak muda yang paling luas pengetahuannya.

Ibadat dan ketaqwaan telah berjaya membentuk dirinya sehingga setiap kali setelah berwudhuk, beliau akan menggigil dan seluruh tubuhnya menggeletar. Apabila ada yang menegurnya, beliau akan berkata: “Tidakkah kamu tahu kepada siapakah saya akan menghadap ini ?. Tidakkah kamu tahu kepada siapakah saya akan bermunajat ini ?.”

Gelaran Yang Diberikan Kepadanya.
Ketinggian ibadah dan ketekunannya melaksanakan ibadah menyebabkan masyarakat memanggilnya ‘Zainul Abidin’ hingga gelaran ini menenggelamkan nama asalnya. Malah masyarakat lebih gemar memanggilnya dengan gelaran ini daripada nama asalnya. Selain itu, kerana sikapnya yang suka sujud dalam masa yang lama dan sering tenggelam dalam sujudnya, menyebabkan masyarakat menggelarnya sebagai al-Sajjad. Malah dia juga digelar sebagai al-Zaki kerana ketulusan hatinya.

Antara Doa-doa Yang Diamalkan Zainul Abidin.
Zainul Abidin amat memahami bahawa doa adalah teras ibadah. Oleh kerana itu, beliau gemar berdoa sedaya-upayanya terutama di kelambu Ka’bah.

“Tuhanku, Engkau telah kurniakan segala rahmat-Mu kepadaku dan Engkau telah limpahkan segala nikmat-Mu kepadaku. Oleh kerana itu, aku memanjatkan doaku kepada-Mu dengan penuh keyakinan dengan penuh rasa mengharaptanpa rasa takut dan bimbang.”

“Tuhanku, aku memohon daripada-Mu sebagai orang yang mengemis rahmat-Mu dan sebagai orang yang tidak berupaya menunaikan hak-hak Mu. Terimalah doa orang yang kelemasan dan hanyut ini, hanya Engkau sahaja yang dapat menyelamatkanku, wahai Tuhan yang Maha Pemurah.”

Suatu hari, Towus bin Kaisan ternampak Zainul Abidin sedang berteduh di bawah naungan Ka’bah. Ketika itu Zainul Abidin sedang mengerang seperti orang kesakitan. Beliau menangis teresak-esak dan memanjatkan doa seperti orang yang sudah pasrah. Towus menunggu sehingga tangisannya reda dan selesai membaca doa. Lalu beliau pun datang menemui Zainul Abidin dan berkata: “Wahai anak Rasulullah s.a.w, saya nampak apa yang engkau lakukan tadi. Engkau sebenarnya ada tiga kelebihan yang mungkin akan dapat meredakan ketakutanmu.”

“Apakah kelebihan itu wahai Towus ?.” Tanya Zainul Abidin.

“Pertama, engkau adalah cucu Rasulullah s.a.w. Kedua, syafaat datukmu untukmu. Ketiga, ialah rahmat Allah.”

Zainul Abidin membalas: “Wahai Towus, hubungan saya dengan Rasulullah s.a.w tidak dapat mententeramkan saya setelah saya mendengar firman ini:

‘Kemudian apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manafaat pertalian kerabat di antara mereka.’ [al-Mukminun: 101]

Tentang syafaat datuk saya, Allah sendiri telah menyatakan dalam Kalimah-Nya:

‘Dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah.’ [al-Anbiya’: 28]

Sementara rahmat Allah pula Dia nyatakan:

‘Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.’[al-A’raaf: 56]

Antara Kisah-Kisah Menarik Dalam Kahidupan Zainul Abidin 
Seorang penduduk Madinah pernah menceritakan: “Suatu ketika apabila Zainul Abidin keluar dari masjid, saya mengekorinya. Sepanjang jalan saya mencercanya walaupun saya sendiri tidak tahu sebab apa saya melakukannya. Tiba-tiba orang ramai menerpa ke arah saya cuba memukul saya. Jika mereka memukul saya, sudah tentu saya tidak akan selamat. Lalu Zainul Abidin memandang orang ramai dan berkata: ‘Biarkan orang itu dan biarkan saya.’ 

Apabila melihat keadaan saya yang ketakutan, beliau dengan wajah tersenyum datang menemui saya dan cuba mententeramkan saya. Katanya: ‘Engkau mencerca saya menurut apa yang engkau tahu tetapi apa yang engkau tidak tahu sebenarnya lebih dahsyat. Apakah ada apa-apa yang boleh saya bantu engkau ?.’ 

Saya berasa malu dan tidak tahu apa yang sepatutnya saya katakan. Apabila melihat keadaan saya, beliau menyarungkan kain selubung yang dipakainya kepada saya dan memberikan saya seribu dirham. Sikapnya ini menyebabkan setiap kali saya bertemu dengannya selepas itu saya akan berkata kepadanya: ‘Saya mengaku engkau daripada keturunan Rasulullah s.a.w.’” 

Hambanya pula pernah menceritakan: “Saya seorang hamba milik Ali bin al-Husain. Suatu hari beliau menyuruh saya melakukan suatu kerja tetapi saya lambat menyudahkannya. Apabila saya pulang, beliau memukul saya dengan cemetinya. Saya menangis dan terlalu marah dengannya kerana tiada sesiapapun pernah memukul saya sebelum ini. Saya berkata kepadanya: ‘Ingatlah Allah, wahai Ali bin al-Husain. Eangkau menyuruh saya melakukan sesuatu dan saya telah lakukannya kemudian engkau memukul saya ?!.’ 

Apabila mendengar kata-kata saya itu beliau menangis dan kemudian berkata: ‘Pergilah ke masjid Rasulullah s.a.w dan solatlah dua rakaat. Setelah itu engkau katakan: ‘Ya Allah, ampunkanlah Ali bin al-Husain.’ Jika engkau pergi dan engkau laksanakan apa yang saya katakan itu demi Allah engkau telah merdeka.’ Lalu saya pun pergi dan solat kemudian saya pun berdoa. Apabila sampai ke rumahnya, saya telah pun dianggap merdeka.” 

Allah telah memberikan limpahan rezeki yang melimpah ruah kepada Zainul Abidin. Beliau memiliki perniagaan yang menguntungkan, ladang tanaman yang subur dan semuanya dikerjakan oleh hamba-hamba Nya. Perniagaan dan ladang tanamannya memberikan keuntungan yang lumayan kepadanya. Namun demikian, Zainul Abidin tidak pernah tenggelam dalam kemewahan. Segala nikmat ini tidak menghanyutkannya. Sebaliknya beliau menjadikan segala kekayaan dunia sebagai batu loncatan kepada kesenangannya di akhirat. 

Ketika malam menjelma, beliau yang berbadan kurus akan memikul sendiri seguni tepung dan kemudian keluar di tengah kegelapan malam di kala semua manusia sedang nyenyak tidur. Beliau membawa guni tepung ini kepada golongan yang memerlukannya, terutamanya orang-orang yang tidak pernah meminta-minta daripada orang lain. 

Ramai dikalangan penduduk Madinah hidup tanpa menyedari siapakah yang memberikan mereka saraan hidup. Setelah Ali bin al-Husain meninggal dunia, mereka tidak lagi memperolehi sebarang bantuan, barulah mereka tahu daripada mana bantuan yang mereka terima selama ini. 

Kisah Ali bin al-Husain memerdekakan hamba-hamba, sememangnya menjadi perbualan semua kerana apa yang dilakukannya adalah di luar jangkaan. Beliau akan memerdekakan seorang hamba apabila hamba itu melakukan sesuatu kebaikan sebagai balasan atas apa yang dilakukan. Beliau juga akan memerdekakan seorang hamba apabila beliau melakukan sesuatu kesalahan dan kemudian bertaubat sebagai balasan kepada taubatnya itu. Malah ada yang menceritakan beliau telah memerdekakan seramai 1,000 orang hamba. 

Beliau tidak pernah menggunakan khidmat hamba lebih daripada setahun. Apabila tiba malam Aidil Fitri, beliau akan membebaskan paling ramai hamba-hambanya. Pada malam yang berkat itu, beliau akan membebaskan hamba-hamba seramai mungkin. Beliau akan meminta mereka menghadap ke qiblat seraya berdoa: “Ya Allah, ampunilah Ali bin al-Husain.” Di samping itu, beliau juga akan memberikan mereka segala perbelanjaan yang diperlukan menyebabkan mereka bartambah-tambah gembira. 

Antara Putera Mahkota Khalifah dan Cucu Rasulullah s.a.w
Suatu hari, Hisyam bin Abdul Malik datang ke Mekah untuk mengerjakan haji. Dia ketika itu adalah putera mahkota khalifah. Setelah sampai, dia terus mengerjakan tawaf dan berhasrat mengucup Hajar al-Aswad. Pengawal-pengawal yang berada di sekelilingnya memaklumkan kehadirannya kepada orang ramai dan meminta mereka memberi ruang kepadanya. Namun tiada seorangpun yang mempedulikannya atau ketepi memberikan ruang. Rumah ini adalah rumah Allah dan semua manusia adalah hamba-Nya. 

Tiba-tiba kedengaran suara tahlil dan takbir dari arah yang jauh dan semua orang menjenguk melihatnya. Rupanya ada seorang lelaki dikelilingi oleh sekumpulan manusia sedang melakukan tawaf. Semua yang ada disitu memerhatikannya dan berbaris. Mereka melihat dengan penuh kasih hingga orang itu sampai ke Hajar al-Aswad dan menyentuhnya. 

Ketika itu, seorang pengiring Hisyam bin Abdul Malik berkata: “Siapakah lelaki yang begitu disanjungi oleh orang ramai ini ?!.” Hisyam menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata: “Saya tidak tahu.” Farazdaq yang ketika itu berada di situ berkata: “Jika Hisyam tidak tahu, saya tahu. Malah seluruh dunia mengenalinya. Itu adalah ali bin al-Husain.”

Post a Comment